WASHINGTON – Nilai kekayaan Jeff Bezos susut AS$15 bilion (RM67 bilion) dalam masa hanya satu hari selepas kejatuhan pasaran saham menyaksikan 500 individu terkaya dunia termasuk Mark Zuckerberg dan Elon Musk hilang sebanyak AS$134 bilion (RM598.4 bilion) secara keseluruhan.
Portal berita MailOnline melaporkan, saham laman e-dagang milik Bezos, Amazon susut 8.8 peratus pada Jumaat lalu sebagai sebahagian daripada penjualan besar-besaran dalam pasaran.
Senario itu menyebabkan nilai kekayaan bersih Bezos merosot kepada AS$191.5 billion (RM855 bilion), kerana kekayaannya terkumpul dalam syarikat itu.
Indeks Nasdaq 100 yang dikuasai syarikat-syarikat teknologi susut sebanyak 2.4 peratus. Ia turut memberi kesan kepada bilionair lain seperti Zuckerberg dan Musk.
Saham Meta Platforms Inc. milik Zuckerberg merudum 1.9 peratus, menyebabkan beliau hilang nilai kekayaan lebih daripada AS$3 bilion (RM13.39 bilion).
Sementara itu, nilai kekayaan bersih Musk sebanyak AS$252 bilion (RM1.1 trilion) juga turun sebanyak AS$6.6 bilion (RM29.4 bilion) apabila saham Tesla menjunam 4.2 peratus. – AGENSI