PETALING JAYA – Pengsohor media sosial, Hafiz Mahamad hari ini mengeluarkan satu klip video melalui akaun sosial Instagramnya bagi memperjelaskan video tular yang pernah dilakukan beliau ketika di tanah suci Mekah sehingga menjadi fitnah sebelum ini.
Hafiz yang juga seorang usahawan turut melakukan lakon semula bersama beberapa krewnya bagi menunjukan situasi asal ketika berada di hadapan Kaabah.
Malah, Hafiz turut memanggil pakar agama iaitu Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, Dr. kamilin Jamilin bagi menerangkan bahawa Islam merupakan satu agama yang melindungi wanita.
Hafiz melalui klip tersebut turut menerangkan bahawa Islam merupakan agama yang sangat menitik beratkan tentang keselamatan golongan wanita.
“Saya lakukan video ni adalah untuk memperbetulkan fitnah yang telah kamu (pempengaruh Hindu yang tularkan klip video) lakukan dan lemparkan kepada saya.
“Awak mengfitnah saya dengan hanya melihat satu babak sahaja, ibarat seperti melihat penghujung kepada satu-satu filem. Jadi saya akan tunjukkan kamu situasi d Mekah,” ujarnya.
Terdahulu, Hafiz Mahamad telah difitnah oleh satu akaun di aplikasi X yang mengatakan beliau telah melakukan satu bentuk serangan terhadap golongan wanita.
Berikutan itu, Hafiz diminta bertanggungjawab kerana telah mengundang fitah kepada agama Islam.
Maka, Hafiz bersama-sama Dr. Kamilin memberi penerangan dan meminta netizen untuk tidak mempercayai satu babak sahaja. – KOSMO! ONLINE