PETALING JAYA – “Kaunter ada 10, harap-harap selepas ini bukalah 10 kaunter ya.”
demikian antara komen yang ditinggalkan orang ramai setiap kali berita berkaitan mengenai kenaikan gaji penjawat awam diuar-uarkan.
Malah, tidak kurang juga ada yang menggesa golongan penjawat awam supaya menyemak hasil kerja masing-masing selain perlu bersikap lebih mesra ketika melayan pelanggan.
“Betul. Gunakan semua kaunter ke tahap optimum. Kalau sepuluh kaunter, sepuluh kena buka. Lagi satu muka kena ada senyum layan pelanggan,” kata seorang pengguna.
“Alhamdulillah, tentu seronok pergi jabatan kerajaan nanti kaunter semua buka,” ujar @Farizul.
“Semak juga hasil kerja masing-masing ya,” kata @emproton.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, penjawat awam boleh menyemak kadar baharu gaji bermula minggu depan susulan pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan kerajaan.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd. Shaiful Ibrahim berkata, perincian mengenai mekanisme pelarasan gaji itu akan diumumkan Perdana Menteri pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 16 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE