PETALING JAYA – Tiada angin, tiada ribut, pelawak dan penyampai radio Jep Sepahtu meluahkan rasa tidak puas hati dipercayai melibatkan kandungan dalam sebuah audio siar.
Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 39, berkata, dia enggan mengambil pusing mengenai hal tersebut.
Namun, disebabkan beberapa kali namanya dipercayai dikaitkan dalam audio siar itu membuatkan dia terpanggil untuk memberi penjelasan.
“Saya ini sebenarnya malas hendak layan hal-hal remeh. Tetapi, bila dibiarkan makin seronok pula mereka sembang. Dah tiada nama lain ke nak tunggang.
“Apa yang saya boleh katakan cerita dalam podcast (audio siar) itu kebanyakan direka dan ditokok tambah,” katanya menerusi satu hantaran dalam Instagram semalam.
Pelakon filem Sepah The Movie itu turut mengharapkan agar kenyataannya itu jelas dan tidak akan berlaku lagi perkara berbangkit.
“Semoga jelas. Harap tiada yang bertanya lagi,” katanya.
Bagaimanapun suami kepada pelakon Sari Yanti itu tidak memberikan sebarang penjelasan terperinci mengenai ketidakpuasan dan individu yang terlibat.
Sebelum ini, nama Jep disebutkan dalam audio siar Dol’s Podcast yang dikendalikan oleh Shuib, Shuk Sahar dan Fizie Roslan bersama artis jemputan Mamat Sepah.
Dalam audio siar tersebut, Mamat berkongsikan kenangan sewaktu kumpulan Sepah menghadiri uji bakat Raja Lawak sehinggalah berjaya bergelar juara bagi musim ketiga program berkenaan.
Mamat turut berkongsikan kisah persahabatannya dengan Jep sewaktu zaman persekolahan termasuk kenangan menjadi orang tengah ketika Shuib dan Jep mengalami perselisihan faham sehingga hampir bertumbuk. – KOSMO! ONLINE