fbpx

Boleh lulus cepat tapi perlu ada blok rumah Madani – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kiri) melihat model rumah pada Majlis Pelancaran Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani (PPAM), di PPAM Piksel Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan boleh mempercepatkan sebarang proses kelulusan pembangunan perumahan dengan syarat ia turut dibangunkan dengan satu atau dua blok rumah Madani.

Menurutnya, beliau telah pun mengeluarkan arahan berkenaan kepada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman.

“Jentera kerajaan harus dikerahkan kerana penyelesaian terhadap masalah perumahan rakyat amat penting.

“Kira-Kira 60,000 orang beratur untuk dapatkan rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan nak siapkan dalam masa setahun, tak boleh,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani (PPAM Madani), di sini hari ini.

Menerusi majlis tersebut, seramai 843 penjawat awam dari pelbagai skim dan gred perkhidmatan telah ditawarkan unit perumahan di Piksel City Sentral, Nikka City Sentral dan Amansuri di Bandar Sri Permaisuri.

Program PPAM Madani merupakan program perumahan mampu milik khas untuk penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah berkualiti di lokasi yang strategik khususnya di bandar- bandar utama dengan harga yang lebih rendah dari pasaran.

Dalam pada itu Anwar turut menjelaskan, kerajaan kini memberi penekanan terhadap projek-projek yang menyantuni rakyat dan bukan lagi pembangunan pencakar langit.

“Bangunan pencakar langit dah banyak, pihak swasta nak bangunkan, silakan. Kerajaan tidak lagi banggakan bangunan megah seluruh dunia.

“Kerajaan dan seluruh kementerian kini lebih utamakan pembangunan yang memanfaatkan dan beri ihsan kepada rakyat antaranya menaik taraf gerai, warung dan restoran kecil yang menjadi antara kawasan tumpuan rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI