KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menjelmakan pingat kedua kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024 selepas memastikan pingat gangsa menjadi miliknya.
Pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de la Chapelle Arena, Paris sebentar tadi, bekas juara Asia dan All England itu mencatat kemenangan 13-21, 21-16, 21-11 ke atas pemain India, Lakshya Sen dalam tempoh 71 minit.
Kemenangan yang diraih sedikit sebanyak mengubat kekecewaan pemain No.7 dunia itu yang kempunan untuk melangkah ke pentas final selepas tewas 14-21, 15-21 kepada juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn di separuh akhir semalam.
Sen yang tewas kepada Viktor Axelsen di separuh akhir memulakan aksi penentuan gangsa itu dengan cukup baik apabila menguasai sepenuhnya set pertama selain dibantu kesilapan-kesilapan mudah dilakukan Zii Jia sehingga mendahului 11-5.
Percubaan Zii Jia untuk melakukan kebangkitan bagaimanapun sedikit sukar apabila pemain India berkenaan melebarkan kedudukan 13-6 sebelum Sen menamatkan aksi set pertama dengan kemenangan 21-13.
Bersambung set kedua, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu memperkemaskan permainan dan mengeluarkan aksi sebenar sehingga membolehkan dia mendahului 12-8, sekali gus meletakkan lawannya dalam situasi sukar.
Bagaimanapun, Sen tidak mudah mengaku kalah apabila terus berusaha untuk merapatkan kedudukan dan berjaya menyamakan mata 12-12, namun Zii Jia kembali berada di depan 17-14 sebelum menang 21-16 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, Zii Jia yang mendapat keyakinan baharu menampilkan aksi cukup agresif apabila mula mengeluarkan permainan sebenarnya menerusi pukulan-pukulan smash kencang dan berjaya mendahului 7-2.
Sen yang berada dalam keadaan tertekan berusaha untuk mengecilkan jurang mata, namun terus ketinggalan dengan perbezaan lima mata apabila Zii Jia mengukuhkan cengkaman menerusi kedudukan 11-6.
Kemudian, pemain berusia 26 tahun itu tidak menoleh lagi ke belakang apabila mengutip mata demi mata untuk mendahului 16-8, sebelum melengkapkan kemenangan muktamad 21-11 di set ketiga.
Sebagai rekod, gangsa yang dimenangi Zii Jia merupakan pingat kedua kontinjen negara pada temasya sukan terbesar dunia itu selepas pingat pertama disumbangkan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut memenangi gangsa. – KOSMO! ONLINE