fbpx

[VIDEO] Dua maut ‘merempit’ di Jalan Persiaran Raja Muda Musa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kejadian maut akibat merempit di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, Klang.

KLANG – ‘Kegilaan’ sekumpulan penunggang motosikal bersaing sesama sendiri bertukar tragedi dengan dua maut termasuk remaja dalam kejadian di Persiaran Raja Muda Musa di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, kedua-dua mangsa lelaki berusia 16 dan 21 tahun masing-masing maut di lokasi kejadian dan ketika perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kemalangan tersebut melibatkan empat buah motosikal masing-masing jenis Yamaha 125ZR dan Y16ZR serta Lagenda selain Honda RS-X FS150.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila beberapa kumpulan yang menunggang motosikal secara laju dan berbahaya sehingga membahayakan pengguna lain.

“Mereka bermula dari Kompleks Sukan Pandamaran Klang hingga Pelabuhan Klang sebelum berpatah balik dengan membuat beberapa pusingan.

“Salah sebuah motosikal yang berada di dalam kumpulan tersebut telah terbabas di atas jalan raya lalu dirempuh oleh beberapa motosikal dari kumpulan yang lain” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, impak kejadian itu menyebabkan dua daripada penunggang motosikal maut di lokasi kejadian.

Manakala, seorang lagi meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Khairul Nizam di talian 010-2452144,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hoong Fong menegaskan lokasi berkenaan sering dijadikan litar oleh golongan remaja terutama pada malam minggu walaupun sudah beberapa kali operasi dan tangkapan dilakukan pihak kita.

“Ibu bapa atau penjaga harus lebih peka, prihatin dan mengawal anak-anak agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti lumba haram yang boleh mengancam nyawa mereka dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Kosmo! Online terdahulu melaporkan sekumpulan mat rempit melambung selepas merempuh penunggang lain yang terlebih dahulu terlibat kemalangan di daerah ini.

Kejadian kemalangan itu berjaya dirakam sebelum tular video berdurasi 17 saar dalam media sosial sejak malam tadi. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI