PETALING JAYA – Terkesan dengan pemergian Allahyarham Jay Jay, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza menghulurkan sumbangan buat keluarga seniman itu menerusi Yayasan Nurjiwa.
Bagaimanapun, Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Taruddin, 45, tidak berkesempatan menziarahi pemuzik, komposer dan penerbit itu ketika dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung pada awal tahun ini.
“Pihak kami ada berhubung dengan arwah dan isterinya juga berbalas mesej, cuma kami tidak sempat meluangkan masa menziarahi beliau.
“Pihak Yayasan Nurjiwa ada memberikan sumbangan hari ini kepada keluarga arwah tetapi kami mahu merahsiakan jumlah amaun yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Ditanya mengenai karakter Allahyarham Jay Jay atau nama lengkapnya Mohd. Fauzi Darus, 67, semasa berkongsi pentas Konsert Satu Suara, pelantun lagu Menyapa Dunia itu menyifatkan pengalaman tersebut sebagai kenangan indah.
“Dapat sepentas dengan Allahyarham Jay Jay merupakan kenangan terindah sepanjang saya berkarier.
“Arwah seorang yang terkenal dengan sikap peramah dan suka bercerita pengalaman kerjayanya,” ujarnya.
Kongsinya lagi, Allahyarham juga sangat teliti dalam setiap tugasan yang dilakukan selain memberikan persembahan energetik.
“Arwah seorang yang suka melihat hasil kerja sempurna dan bersemangat sewaktu membuat latihan muzik.
“Dia juga bekerja keras untuk mengadakan persembahan pada Mei tahun lalu bersama saya,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Siti berkongsi beraksi bersama arwah Jay Jay dan Ernie Zakri dalam Konsert Satu Suara Vol. 3 di Mega Star Arena Sungei Wang Plaza pada 13 Mei tahun lalu.
Malam tadi, bekas vokalis kumpulan Carefree itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thompson Kota Damansara.
Jay Jay pernah menjalani pintasan jantung akibat saluran tersumbat di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mei lalu.
Penyanyi Joget Angan Tak Sudah itu tidak boleh menggerakkan tangan dan kaki kanannya seperti biasa selepas menjalani prosedur tersebut.
Difahamkan, doktor mendapati ada sesuatu mengganggu saraf otak yang menyebabkan penyanyi itu mengalami angin ahmar buat sementara. – KOSMO! ONLINE