fbpx

Siapa bakal bangunkan NIISe, Theta Edge, DNeX atau Heitech Padu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Proses pemilihan pembida bersesuaian untuk projek NIISe perlu dibuat dengan sebaiknya dan mengambil kira pelbagai faktor agar projek NIISe tidak galal lagi pada masa depan.

PETALING JAYA – Kerajaan perlu membuat penilaian terbaik dan dilaksanakan secara profesional dalam proses membuat pemilihan syarikat yang akan membangunkan projek terbaharu Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Para pemerhati pasaran melihat dalam membuat pemilihan tersebut, pihak berkuasa perlu meneliti dan mengkaji latar belakang syarikat yang disenarai pendek itu samada ia memiliki pengalaman luas dalam bidang teknologi maklumat (IT) berkaitan kerajaan dan terutama sekali memiliki kepakaran dalam aspek keselamatan negara.

Ini kerana, dalam dunia yang semakin canggih dan keterhubungan tanpa sempadan, keselamatan siber dan integriti data menjadi satu keutamaan jadi hal berkaitan keselamatan negara tidak boleh diambil mudah dan pemilihan syarikat yang bersesuaian harus dibuat bukan hanya melihat kepada kemampuan teknikal semata-mata.

NIISe yang  bakal menggantikan Sistem Kawalan Imigresen Nasional yang telah dilancarkan pada tahun 2017 itu  akan melibatkan sistem keimigresenan yang lebih canggih, bersepadu dan holistik, dengan dilengkapi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) serta Big Data Analytic (BDA.)  

Ia turut menawarkan satu sistem menyeluruh dan bersepadu, memanfaatkan teknologi terkini, lebih canggih serta mengoptimumkan pengautomasian bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan keimigresenan memenuhi jangkaan pengguna.

Bersandarkan potensi NIISe yang bernilai tinggi itu maka tidak hairanlah jika bidaan untuk projek tersebut mendapat perhatian pasaran dan kini terdapat tiga buah syarikat utama yang disenarai pendekkan malah bakal diumumkan tidak lama lagi.

Tiga syarikat tersebut adalah Theta Edge Berhad (Theta Edge) Dagang Nexchange Berhad (DNex) dan juga HeiTech Padu Berhad.

Difahamkan, ketiga-tiga syarikat tersebut telah dipanggil untuk taklimat tender pertengahan seperti yang dilaporkan media pada 4 Mac lalu yang menunjukkan bahawa mereka telah disenarai pendek daripada lebih 10 syarikat yang mengemukakan cadangan projek berkenaan.

Persoalan di sini, siapakah diantara mereka yang memiliki kelebihan masing-masing daripada segi kapasiti termasuk kewangan, pengalaman khususnya dalam bidang keselamatan atau ‘track record’  yang akan terpilih untuk memperoleh projek berkenaan.

“Banyak faktor perlu diambil kira dalam pemilihan syarikat yang benar-benar berpotensi kerana NIISe pernah mengalami kegagalan sebanyak dua kali ekoran pelbagai faktor termasuk perubahan kerajaan sejak tahun 2022.

“Kita tidak mahu projek ini gagal sekali lagi hanya kerana kesilapan memilih syarikat yang benar-benar layak untuk mengetuainya, kerana kegagalan sebelum ini, kita sudah kehilangan masa, tenaga, kos yang dibazirkan untuk membangunkan ‘projek sakit’ ini,” jelasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut pemerhati tersebut  Theta Edge melalui anak syarikatnya, Theta Telecoms Sdn. Bhd. baru sahaja menerima Notis Pelawaan Cadangan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk membekal dan menyelenggara teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT). 

Ia sebahagian daripada Inisiatif Perniagaan Pintar di bawah majlis perbandaran itu bagi tempoh konsesi selama 20 tahun di bawah kerjasama awam-swasta.

Sehubungan itu, Theta Edge akan melabur RM673.8 juta dalam projek ini untuk membangunkan IoT Ekonomi Pintar di Ampang Jaya.

“Bersandarkan kepada projek yang melibatkan satu angka yang besar, wujud persoalannya, samada  Theta  mempunyai kapasiti sumber kewangan yang diperlukan untuk melaksanakan projek NIISe nanti, sedangkan Theta Edge sedang melaksanakan dua projek utama yang lain milik kerajaan?

“Bukan sahaja kewangan, Theta Edga juga tiada pengalaman dalam bidang keselamatan misi sesuatu yang amat penting untuk projek yang dibida ini,” jelasnya.

Selain itu, DNex dilaporkan meletakkan harga yang tertinggi, kira-kira RM1.1 ke RM1.2 bilion dalam bidaan tersebut dan dijangkakan,sekiranya bidaan itu berjaya, syarikat bakal menggunakan satu sistem yang kini digunakan oleh beberapa negara di dunia.

Bagaimanapun,  isu tempatan tidak sama dengan isu di luar negara sehingga memberi keyakinan kepada DNex untuk melakukan justifikasi yang ketara sedangkan syarikat perlu menggunakan pengalaman dan pengetahuan mendalam untuk mengambil alih projek bernilai tinggi itu.

Sementara itu, melihat kepada rekod HeiTech, ia memiliki  pengetahuan dan pengalaman yang meluas dalam melaksanakan  beberapa projek IT kerajaan kerana pernah terlibat dengan pelaksanaan IT imigresen dengan memastikan piawaian keselamatan tinggi untuk projek itu.

Malah HeiTech dilaporkan telah dipanggil dua kali untuk ‘merungkai’ beberapa isu yang dicipta oleh pesaing apabila mereka gagal melaksanakan tugas yang diberikan dalam tender terdahulu.

“Persoalannya kini, samada ketiga-tiga syarikat itu layak untuk mengambil alih projek tersebut dan menawarkan mengikut jadual yang ditetapkan serta memiliki nilai berharga untuk meningkatkan sistem keselamatan negara yang akan digunapakai oleh Jabatan Imigresen.

“Pemilihan harus dibuat mengikut jaminan keselamatan, ia juga perlu dibuat secara telus dan bijak dalam membangunkan projek kritikal ini bagi menjamin masa depan negara yang lebih baik,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI