PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf atas kekhilafan ketika berpidato pada Himpunan Pembebasan Palestin malam tadi.
Menerusi klip video tular di media sosial, Ahmad Zahid dilihat tersilap dalam sesi pidatonya di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur.
“Saya hadir bersama ribuan rakyat Malaysia bagi memberi dokongan dan tanda solidariti kita untuk pembebasan Palestin.
“Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara.
“Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, himpunan tersebut juga adalah bagi memperingati As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh yang telah dibunuh dengan kejam.
“Namun, walau seorang Ismail Haniyeh gugur ribuan mujahid lagi akan dilahirkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE