PETALING JAYA – Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) mencatat satu lagi pencapaian cemerlang apabila mengendalikan kontena sejumlah 1,115,181 unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh satu bulan sahaja tanpa mengalami sebarang kesesakan.
Rekod baharu ini mengikuti rekod tinggi PTP sebelumnya sebanyak 1,077,747 TEU yang dicapai pada bulan Mei tahun yang sama.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, rekod ini bukan sahaja menjadikan PTP sebagai pelabuhan pertama di Malaysia yang mencapai kejayan ini secara berturut-turut, tetapi juga mengukuhkan kedudukan PTP sebagai salah satu hab maritim dan transshipment terkemuka, baik di peringkat serantau mahupun global.
“Kemampuan kami untuk mencapai prestasi pecah rekod ini tanpa kesesakan pelabuhan ini, telah memperkukuhkan status PTP sebagai penghubung yang unik dan bernilai dalam rantaian bekalan global,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Beliau berbangga dengan pencapaian tersebut kerana syarikat berjaya mencapainya dalam keadaan persekitaran perkapalan global yang mencabar kini.
“Dengan menguruskan jumlah kargo yang begitu besar dengan lancar, PTP juga menunjukkan keupayaan kami untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan dan rakan kongsi yang dihargai, sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.
Kesesakan pelabuhan yang ketara di hampir semua benua dan rantau ini telah menjadi isu global yang kritikal, mengakibatkan kelewatan besar dalam jadual kapal dan gangguan serius kepada rantaian bekalan di seluruh dunia.
Ia telah menyebabkan peningkatan kos dan tekanan inflasi, yang memberi kesan bukan sahaja kepada pengangkut kontena lautan dan pelabuhan, tetapi juga kepada pengguna akhir.
Kesesakan ini terutamanya disebabkan oleh serangan militan terhadap kapal komersial, yang dikenali sebagai Krisis Laut Merah, yang memaksa syarikat perkapalan mengalihkan perjalanan kapal melalui laluan lebih panjang mengelilingi Afrika untuk tujuan keselamatan. -KOSMO! ONLINE