fbpx

PRK DUN Mahkota: Amanah Kluang desak bertanding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ZUHAN (tengah) menunjukan keratan akhbar selepas membuat sidang akhbar di Johor Bahru hari ini. - Foto oleh BAZLAN IBRAHIM / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Kluang mendesak pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk memilih calon parti itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Malah, Ketuanya, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain memaklumkan beliau sudah memiliki tiga nama calon untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan dan berharap desakan itu dapat dipertimbangkan.

“Amanah memilih untuk bertanding pada PRK DUN Mahkota kerana kerusi di kawasan tersebut sebelum ini pernah dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 2018.

“Amanah pernah mewakili PH pada PRU14 walaupun ketika itu dianggap mustahil (untuk Amanah menang) oleh UMNO dan Pas sebagai pihak lawan.

“Kita yakin mampu menang sekiranya bertanding PRK DUN Mahkota kali ini berdasarkan sokongan serta keyakinan rakyat Kluang selain kajian dan data yang dilakukan selepas PRU15,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, Amanah Kluang mengambil keputusan untuk bertanding kerana tidak puas hati dengan kerjasama antara PH dan BN di peringkat negeri apabila tiada wakil daripada PH.

Katanya, bukan sahaja tiada wakil Amanah dan PH yang dilantik menjadi Exco Kerajaan Johor, malah di peringkat kawasan tiada pemimpin mereka dilantik menjadi ahli majlis, ketua kampung serta ketua masyarakat.

Beliau mendakwa, hubungan PH dan BN di negeri ini tidak selari dengan kerjasama seperti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat apabila semua parti komponen berkongsi kuasa dalam pentadbiran kerajaan.

Pada masa sama, pihaknya tidak berpuas hati dengan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday berkenaan usul yang diketengahkan dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian berkenaan bulan lalu.

“Kenyataan beliau yang menyatakan secara terbuka tidak mahu bekerjasama dengan salah satu rakan komponen PH (iaitu DAP) sangat mengguris hati pendokong dan penyokong akar umbi.

“Ini telah membuka ruang kepada musuh untuk memecah-belahkan PH dan BN di Kluang, khususnya Johor secara amnya,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri DUN Mahkota, Johor pada 13 Ogos ini susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Pada PRN Johor pada Mac 2022, Sharifah Azizah daripada BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon PH, Taqiuddin Cheman, calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan dan calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI