IPOH – Soal ketidakhadiran Ahli Parlimen termasuk pemotongan elaun kerana tidak hadir persidangan Parlimen mungkin menjadi antara intipati Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang bakal dibentangkan nanti.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau difahamkan cadangan rang undang-undang (RUU) PSA itu telah diluluskan oleh Kabinet.
Beliau bagaimanapun menyatakan tidak boleh mengulas lanjut kerana belum melihat draf akhir PSA tersebut yang dijangka dibentangkan sesama sidang Parlimen dari 14 Oktober hingga 12 Disember ini.
“Saya belum tengok lagi draf akhir itu. Tetapi sudah tentu kita akan melihat bagaimana berapa tindakan kita akan kenakan terhadap apa-apa jugalah yang diperlukan termasuklah ketidakhadiran.
“Walaupun ada dalam undang-undang sekarang ini bahawa kalau Ahli Parlimen tidak hadir secara berterusan selama enam bulan, dia akan hilang kerusi dia. Jadi mungkin juga kita akan perbaiki beberapa kaedah termasuklah sekiranya dia tak hadir berapa hari kita mungkin potong elaun dia.
“Saya nak tengok apa berlaku dalam PSA itu. Sekarang saya tak boleh komen sebab saya sendiri pun tak tengok draf akhir PSA itu,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke Dewan Negeri Perak di sini hari ini.
Beliau sebelum ini menyatakan melihat dengan serius langkah-langkah perlu dilaksanakan termasuk memotong elaun ahli Parlimen jika terus tidak hadir ketika sesi sidang Parlimen, kerana baginya mereka mempunyai tugas serta tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan yang diwakili.
Sementara itu, lawatan kerja yang diadakan oleh Johari bertujuan mengeratkan hubungan antara Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau pada masa sama mengutarakan tentang pembaharuan undang-undang sedia ada supaya disesuaikan dengan keadaan semasa. – KOSMO! ONLINE