fbpx

PMO mahu Meta beri penjelasan, tuntut permohonan maaf awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (dua kiri) mengadakan pertemuan bersama wakil Meta di Putrajaya hari ini. - Foto oleh IHSAN PMO

PUTRAJAYA- Pejabat Perdana Menteri (PMO) meminta Meta Platforms Inc (Meta) untuk memberi penjelasan terperinci berhubung tindakan diambil syarikat itu selain menuntut permohonan maaf secara terbuka kepada orang ramai.

Tuntutan penjelasan daripada pihak Meta itu dibuat PMO selepas pihaknya mengadakan pertemuan selama hampir dua jam bersama wakil syarikat itu bermula pukul 2 petang tadi.

Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO, pihaknya telah memanggil Meta hari ini bagi menuntut penjelasan berhubung penyingkiran beberapa hantaran di akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semasa mesyuarat itu, Pejabat Perdana Menteri telah menyatakan kekecewaan mendalam terhadap Meta susulan tindakan menurunkan ucapan Perdana Menteri terhadap
kematian Ismail Haniyeh.

“PMO melihat tindakan Meta sebagai diskriminasi, tidak adil, dan berlaku penindasan secara terang-terangan terhadap kebebasan bersuara,”katanya hari ini.

Jelas kenyataan itu, tindakan Meta juha dilihat sebagai penghinaan kepada perjuangan rakyat Palestin dalam mengejar keadilan dan hak asasi manusia.

“Kami juga menekankan bahawa penyingkiran itu memberi kesan yang mendalam kepada penduduk Malaysia dan masyarakat global yang amat menyedari penderitaan Palestin dan kekejaman dilakukan Zionis Israel.

“Keputusan unilateral untuk menapis kandungan tanpa mengambil kira konteks siaran jelas menimbulkan persoalan tentang ketelusan dasar penyederhanaan kandungan Meta,” tegasnya.

Pada masa sama, PMO turut melahirkan kekecewaan berhubung penggantungan siaran langsung disiarkan di Facebook melalui akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin malam semalam.

Lantaran itu, seperti dijanjikan pada mesyuarat itu, Meta juga akan mengeluarkan kenyataan akhbar dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI