SHAH ALAM – Lebih 21,000 penjawat awam Selangor bakal menerima kadar baharu kenaikan gaji selaras dengan pengumuman oleh Kerajaan Persekutuan, baru- baru ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kadar kenaikan gaji penjawat awam itu bagaimanapun bergantung kepada rizab kewangan negeri.
“Kita akan ikut, sebagaimana saya sebut kita akan ikut. Kita lihat dulu kadar (kenaikan) yang ditetapkan oleh Persekutuan. Kita akan cuba ‘adapt’ dengan rizab (kewangan) yang kita ada, insya-Allah.
“(Pelaksanaan kadar) ini membabitkan seramai lebih 21,000 penjawat awam di Selangor, ” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan majlis Himpunan Penjawat Awam Selangor dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Selangor 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE