PETALING JAYA – ‘Pearly, tanpa anda saya tidak akan berada di sini di pentas terbesar impian setiap atlet. Sukan Olimpik’.
Itu luahan penghargaan pemain beregu wanita negara, M. Thinaah terhadap pasangannya di gelanggang, Pearly Tan Koong Le melalui sebuah hantaran di Instagram hari ini.
Melalui hantaran itu, Thinaah turut memaklumkan Pearly berdepan kesukaran apabila mengalami kecederaan dan tidak sihat menjelang Olimpik.
“Kami hanya berlatih bersama selama 1.5 minggu sebelum terbang ke Perancis untuk memulakan kem latihan.
“Saya terus memberitahu diri saya untuk terus kuat walaupun ada kalanya saya rasa tidak berdaya berlatih tanpa awak,” katanya.
Selain itu menurut Thinaah, mereka berdua turut berselisih faham, namun perkara itu tidak menggugat kerjasama mereka.
“Walaupun semasa di kem kita berselisih faham dan saya hanya mahu selesai dengan Olimpik dan pulang ke rumah.
“Tetapi sebaik sahaja kami tiba di sana, saya berasa berbeza dan perasaan itu tidak dapat digambarkan. Kita mungkin ada detik-detik janggal tetapi sebaik sahaja pertandingan bermula, kita menjadi satu,” ujarnya.
Kata Thinaah meskipun pulang tanpa membawa pingat buat negara, mereka patut memuji diri sendiri kerana sentiasa ada untuk satu sama lain.
“Hanya kita yang tahu apa yang kita lalui. Hanya kita yang mengalami perasaan itu.
“Jadi saya ingin mengambil masa ini untuk mengucapkan terima kasih kerana berada di sisi saya selama ini, maaf kerana kadang-kadang mengecewakan awak,” katanya.
Sementara itu, di ruangan komen mendapati Pearly turut mengucapkan terima kasih kepada Thinaah.
“Tolong jangan buat saya menangis lagi. Terima kasih untuk segalanya ‘chaa’ saya, saya pun tidak akan berada di sini tanpa awak,” katanya.
Terdahulu, perjuangan pasangan beregu itu di Sukan Olimpik Paris 2024 tersekat di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan No.1 dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris itu, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 tersebut terpaksa akur dengan kekalahan 12-21, 21-18, 15-21 dalam tempoh 78 minit. – KOSMO! ONLINE