fbpx

Pam Taman Sri Muda kini boleh keluarkan lima ganda air banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izham dan Mohamad Sabu ketika melihat tiga unit skru pam baharu di projek Rumah Pam Taman Sri Muda. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

SHAH ALAM – Projek Rumah Pam Taman Sri Muda dengan penambahan tiga unit skru pam baharu akan mengurangkan potensi banjir apabila mampu mengepam keluar air lima kali ganda dari sebelumnya.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, tiga unit skru tersebut yang berkapasiti 1,700 liter juga mampu menyedut dan mengeluarkan segala sampah tanpa sebarang sangkut.

Katanya, ini menjadikan keseluruhan sebanyak enam pam air di lokaliti tersebut termasuk yang lama dengan kos sebanyak RM7.1 juta yang siap sejak Mei lalu.

“Taman Sri Muda ini sentiasa diberikan perhatian kerana kawasan yang rendah dan menerima air yang banyak (sekiranya hujan lebat).

“Tambahan tiga unit skru pam baharu adalah lima kali ganda lebih cepat berbanding lalu dengan mengeluarkan air lima meter padu sesaat,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan rumah pam tersebut bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sebelum ini, Taman Sri Muda Seksyen 25 di sini antara lokasi yang terjejas teruk ketika banjir besar yang melanda daerah ini pada Disember 2021.

Izham memaklumkan kerajaan negeri juga telah membuat permohonan kepada kerajaan persekutuan bagi dua RTB yang mendesak iaitu RTB Langat 2 dan RTB Sungai Buloh Fasa 2.

“Sekiranya diluluskan bagi RTB Langat 2 dan RTB Sungai Buloh 2 akan melibatkan kos perbelanjaan sehingga RM1.2 bilion kerana melibatkan lembangan yang luas dengan jangka masa projek selama lima tahun.

“Bagi lokasi lain turut dilaksanakan seperti RTV Bukit Changgang, Meru di Klang dan Dengkil di Sepang. Namun, kadang-kadang bila berlaku (banjir) ramai tanya kenapa masih berlaku banjir. Projek baru hendak mula. Memang boleh selesai (banjir) tetapi jangka panjang dan langkah pendek kita bersihkan (kawasan banjir) dengan pam air,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI