LONDON – Sekumpulan orang awam merakam diri mereka melarikan diri daripada protes ganas yang menggegarkan bandar raya Liverpool semalam.
Senario kekacauan turut dirakam di bandar Southport, Belfast, Hartlepool, Hull, Stoke-on-Trent, Nottingham dan Sunderland kelmarin dan semalam.
Situasi cemas itu berlaku apabila penunjuk perasaan berhaluan kanan membanjiri dan merusuh di jalan-jalan raya susulan pembunuhan tiga budak perempuan di bandar Southport dekat Liverpool, minggu lalu.
Pejabat Perdana Menteri di Downing Street dijadual mengadakan mesyuarat tergempar dikenali sebagai Cobra hari ini selepas kumpulan samseng cuba menyerbu sebilangan hotel yang menempatkan pencari suaka semalam.
Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer berjanji bahawa perusuh akan ‘menyesali’ perbuatan mereka terlibat dalam ‘aktiviti samseng berhaluan kanan’ selepas keganasan terus meningkat sejak beberapa hari lalu. – AGENSI