IMPIAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah melakar sejarah membawa pulang pingat dari bumi Paris tidak kesampaian selepas tewas di tangan beregu nombor empat dunia dari Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida kelmarin.
Begitupun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui bahawa beregu wanita negara itu telah melakukan yang terbaik walaupun tidak berjaya menyumbang kilauan pingat pertama buat Malaysia.
“Saya percaya mereka telah memberikan segala tenaga yang ada untuk perjuangan ke final. Sejak satu setengah tahun yang lepas mereka berada dalam program Road to Gold (RTG) dan untuk meraih pingat emas sentiasa berada dalam fikiran mereka,” kata Hannah.
Kem badminton negara tidak pernah gagal menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia sejak beberapa edisi Olimpik dengan pencapaian di Rio 2016 paling membanggakan apabila meraih tiga pingat perak.
Edisi lalu di Tokyo juga menyaksikan satu daripada dua pingat yang diraih negara adalah menerusi gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meraih pingat gangsa.
Sementara itu, Hannah juga menyatakan bahawa perjuangan atlet negara masih belum berakhir dan berharap mereka mampu memberikan berita gembira buat kontinjen Malaysia.
“Perjuangan belum selesai, jadi saya percaya atlet-atlet yang masih ada di Paris harus mengambil kesempatan ini untuk memperjuangkan setiap peluang yang diberi. Setiap minit dalam gelanggang itu sangat berharga,” tambahnya.