PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersedia membantu kira-kira 300,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak layak masuk matrikulasi atau asasi universiti untuk melanjutkan pelajaran.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hala tuju pelajar terbabit adalah dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)
“Tidak kurang 300,000 lepasan SPM 2023 tidak layak masuk matrikulasi, asasi universiti. Ke mana hala tuju mereka? TVET adalah jawapannya.
“Ada 270 institusi TVET bawah Mara sedia bantu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Dalam hantaran berasingan, Asyraf Wajdi berkata, terdapat 1,345 institusi pendidikan dan latihan menyediakan lebih 4,000 bidang TVET di bawah 12 kementerian yang diselaraskan oleh Majlis TVET Negara.
Kata beliau, melalui Dasar TVET Negara yang dilancarkan Jun lalu, syarat minimum bekerja hari ini bukan sahaja SPM, tetapi sijil-sijil kemahiran seperti Sijil Kemahiran Malaysi (SKM) juga diiktiraf.
Ujar beliau, 270 institusi pendidikan TVET Mara malah menyediakan pelbagai program TVET daripada peringkat sijil, sijil profesional, sijil industri, diploma, diploma perindustrian sehingga ke peringkat ijazah.
“Ini termasuklah institusi seperti GiatMARA, Institut Kemahiran Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara sehinggalah ke peringkat Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
“Mara juga kini memberi peluang graduan dan pelatih TVET untuk sambung pengajian dan latihan sehingga ke luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE