fbpx

Mak Umi Kitchen.Co mahu buka kilang kek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Arif menunjukkan pelbagai jenis produk keluaran yang berasaskan kek butter di Alor Setar baru-baru ini.

ALOR SETAR – Siapa sangka hanya kerana niat ‘suka-suka’ berniaga dalam dunia bakeri yang menjadi kegemaran sejak di bangku sekolah lagi, telah membolehkan seorang anak muda memiliki perniagaannya sendiri.

Pengasas Mak Umi Kitchen. Co, Mohamad Arif Zainol, 25, berkata, langkah kanannya dalam dunia perniagaan itu bermula selepas berjaya menghasilkan kek yang dibuat atas dasar mencuba sahaja dan diberikan kepada rakan sekerjanya.

Maklum balas positif yang diterimanya membuatkan hatinya membuak-buak untuk mencuba lagi membuat kek mengikut tempahan yang diterima daripada rakan sekerjanya.

Ketika itu, beliau sedang menjalani latihan industri di sebuah syarikat automotif di sini tahun lalu dan bermula daripada titik itu, anak muda ini meneruskan perniagaan separuh masanya dengan menghasilkan kek untuk dijual di pejabat.

Bila tibanya bulan Ramadan tahun lalu dengan berbekalkan modal daripada simpanan sendiri sebanyak RM5,000, Mohamad Arif tidak menoleh ke belakang lagi lantas terus memberi tumpuan terhadap perniagaan kecilnya hanya dari rumah.

“Tidak pernah saya jangkakan pada umur sebegini muda, saya mampu mengoperasikan satu perniagaan bakeri meskipun mempunyai latar belakang pe­ngajian yang agak berbeza ketika belajar di universiti,” kata Mohamad Arif ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohamad Arif menunjukkan kek keluaran syarikat yang dijual popular di media sosial

Usahawan yang memiliki Ijazah Automotif Teknologi dari Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) itu terus membina empayarnya dengan sema­ngat dan usaha gigihnya untuk memenuhi permintaan pelanggan yang pelbagai kerana beliau yakin bahawa maklum balas dan kepuasan pelanggan adalah kunci utama kepadanya untuk terus menawarkan kek berkualiti pada masa depan.

Dibantu oleh ahli keluarga untuk menyiapkan tempahan, anak bongsu daripada lima adik beradik itu menawarkan ke­lainan dalam pembuatan kek butter perisa asli yang dipromosikan dalam media sosial selain dibantu oleh testimoni positif pelanggan dari ‘mulut ke mulut’ membuatkan Mohamad Arif tidak menang tangan setiap hari.

Tempahan kek Mak Umi Kitchen.Co ketika itu adalah antara 300 hingga 400 kek sebulan dan dijual pada harga RM45 untuk kek bersaiz kecil, manakala yang besar dijual pada harga RM70.

Pengalaman menjadi guru buat anak muda itu menjadi semakin matang dan terus menyimpan cita-cita besar untuk membesarkan lagi perniagaannya.

Pada tahun kedua, beliau berjaya membangunkan sebuah dapur berpusat untuk membolehkan syarikat memiliki kapasiti yang besar untuk memenuhi permintaan kek yang semakin bertambah.

Kakitangan yang menyokong kelancaran dan operasi Mak Umi Kitchen memenuhi permintaan daripada pelanggan yang semakin bertambah sehingga kini.

“Kini kami mampu menghasilkan antara 3,000 hingga 4,000 kek sebulan dan ia ditawarkan dalam tiga jenis kek iaitu perisa butter asli, butter oren dan butter coklat.

“Ia juga dihidangkan dalam dua kategori saiz dan juga tawaran harga yang berbeza,” jelasnya yang pernah menerima tempahan dari Perak dengan melibatkan penghantaran sehingga 50 biji kek kepada pelanggannya di sana.

Mengulas mengenai keunikan barisan produk yang dikeluarkan, Mohamad Arif menerangkan, produk Mak Umi Kitchen. Co berjaya memenangi hati pelanggan khususnya daripada rasa kek itu sendiri kerana ia dihasilkan daripada bahan-bahan berkualiti dan dijamin halal.

Harga yang ditawarkan juga berpatutan, berbaloi dan ‘masuk akal’ meskipun harga bahan buatan berkaitan bakeri terlalu tinggi sehingga memberi kesan kepada keuntungan bersih syarikat.

Mohamad Arif tidak mahu menjadikan isu kos sebagai kekangan untuknya terus berbakti kepada para pelanggan kerana mahu memastikan harga pembelian kek yang dibayar oleh pe­langgannya berbaloi dengan rasa dan kepuasan hati mereka, malah terus setia menjadi pe­langgan Mak Umi Kitchen.Co untuk jangka masa panjang.

“Boleh dikatakan 100 peratus bahan buatan kami adalah premium, sebagai contoh butter yang digunakan adalah asli dan kami tidak campurkan produk tersebut dengan marjerin untuk penghasilan kek,” katanya.

Sementara itu, bersempena bulan kemerdekaan ini, syarikat menganjurkan promosi cabutan bertuah buat pelanggan yang membuat pembelian kek daripada syarikatnya.

Hadiah menarik dikongsikan di platform media sosial dan bagi mereka yang berminat, boleh layari Facebook Mak Umi Kitchen atau TikTok @makumikitchen.co @kekbuttersoultan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI