CAROLINA SELATAN – Pengurus Liverpool, Arne Slot mula menunjukkan belang sebenar selepas menewaskan Manchester United 3-0 pada aksi persahabatan pramusim di Stadium Williams-Brice, Amerika Syarikat semalam.
Slot juga gembira dengan hasil dijelmakan oleh pemainnya sepanjang pramusim kali ini, namun masih mengharapkan sesuatu yang lebih sempurna bagi memastikan prestasi terbaik sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).
Daripada keseluruhan peluang yang dicipta, Slot juga berpendapat Liverpool sepatutnya mampu untuk menamatkan perlawanan itu dengan menghasilkan lebih banyak gol.
“Kami gembira dengan keputusan kerana kami menjaringkan gol menarik. Saya tidak fikir yang kami mengawal penuh perlawanan kerana asakan United juga ada memberikan ancaman kepada kami.
“Ia kemenangan 3-0, namun jumlah jaringan itu sepatunya lebih baik lagi. Keputusan ini yang diharapkan oleh semua orang tetapi pemain saya kekal cergas untuk membolehkan kami bermain seperti hari ini.
“Kami berjaya menjaringkan gol menarik sepanjang jelajah pramusim di sini dan pemain juga bekerja keras untuk mengelak daripada gawang dibolosi.
“Ramai pemain akan kembali daripada cuti. Jadi adalah sesuatu yang menarik untuk melihat mereka cepat sesuai dengan pasukan dan kami akan melaksanakan persiapan secepat mungkin,” katanya.
Kesemua gol The Reds dihasilkan oleh Fabio Carvalho, Curtis Jones dan Kostas Tsimikas.
Biarpun cemerlang sepanjang kempen pramusim, namun Liverpool masih tetap mempunyai kelemahan perlu diperbaiki sebelum aksi pertama EPL menentang Ipswich Town di Portman road pada 17 Ogos ini. – AGENSI