PETALING JAYA – Pemain kebangsaan, Faisal Halim mengakui berasa amat sedih apabila bekas jurulatih kebangsaan iaitu Kim Pan-gon mengumumkan perletakan jawatannya pada 16 Julai lalu.
Menerusi video temubual yang dimuat naik Selangor FC malam tadi, Faisal atau Mickey berkata, keikhlasan yang ditonjolkan Kim Pan-gon dalam memberi tunjuk ajar bukan sahaja dirasai dirinya malah oleh seluruh pasukan kebangsaan.
Ujarnya, antara momen yang membuatkan Faisal paling tersentuh adalah ketika Kim Pan-gon menziarahi dirinya selepas dimasukkan ke hospital pada Mei lalu.
“Ketika di hospital, dia datang melawat saya. Masuk je pintu bilik saya, dia tak bercakap, dia hanya menangis, dia sebak.
“Hampir lima minit dia duduk sebelah saya, tak bercakap, hanya menangis. Itu antara momen yang buat saya tersentuh dengan ‘coach’ walaupun bukan bangsa atau rakyat kita tapi dia ikhlas dengan tanggungjawab dia.
“Sudah tentu saya sebagai pemain, saya berasa sedih. Sebab saya pernah bekerja dengan ‘coach’ Kim jadi saya tahu dia punya keikhlasan. Apa yang saya boleh katakan, saya sangat sedih,” katanya.
Jelas Faisal lagi, Kim Pan-gon dianggap telah banyak mengubah karakter setiap pemain dan pasukan kebangsaan sepanjang dua tahun menjadi jurulatih Harimau Malaya.
“Bila saya dapat tahu dia nak tinggalkan Malaysia, saya mesej dia ‘coach’ hari tu ‘coach’ cakap dengan saya, jangan putus asa dan kembali untuk beraksi untuk pasukan Selangor atau pun kebangsaan’.
“Saya pun ulang balik ayat yang dia pernah cakap dekat saya hari tu iaitu ‘saya akan tunggu ‘coach’ dan dia cakap ‘kita pun tak tahu masa depan apa yang akan berlaku, kita cuba buat yang terbaik’.
“Dia (Kim Pan-gon) kata lagi, ‘Awak akan jadi yang terbaik di masa depan jika awak buat yang terbaik untuk bangkit’,” ujarnya.
Faisal berkata, dia berpegang dengan kata-kata bekas jururlatihnya itu dan akan bangkit serta cuba menjadi pemain yang luar biasa buat negara.
“Saya nak buktikan dekat Malaysia yang saya tidak boleh dijatuhkan dengan apa-apa. Doa rakyat Malaysia di belakang saya,” katanya.
Terdahulu, Faisal membuat kemunculan semula dalam perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Terengganu FC (TFC) pada Sabtu malam sehingga menggegarkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Tampil mengenakan topeng dan bersarung tangan, Faisal dilihat melakukan sujud kesyukuran sebelum memasuki padang untuk sesi pemanas badan.
Sebelum ini, pemain berusia 26 tahun itu yang juga bapa seorang anak berehat lebih dua bulan selepas mengalami kecederaan melecur tahap empat akubat disimbah asid individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di sini, 5 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE.