fbpx

Kerajaan sedia bawa keluar anggota Malbatt dari Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

ALOR GAJAH – Kerajaan akan membawa pulang segera lebih 800 pegawai dan anggota Batalion Malbatt 850-11 yang kini melaksanakan misi pengaman serta kemanusiaan di Lubnan jika tidak ada kepastian tentang keselamatan di wilayah tersebut.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, usaha yang akan dilakukan oleh pihak kementerian adalah membawa keluar semua anggota Batalion Malbatt sama ada melalui jalan darat atau laut.

Menurutnya, bagaimanapun buat masa sekarang pihak kementerian sedang memantau keadaan di Lubnan serta menilai keperluan dalam tempoh yang singkat sebelum mengambil keputusan membawa keluar anggota Malbatt dari wilayah yang bergolak itu.

“Dua pilihan yang berada di tangan pihak kementerian sama ada mendapat persetujuan terlebih dari dulu dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Malaysia membawa sendiri anggota pulang ke tanah air.

ADLY (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci Rumah Kasih Ihsan Parlimen Alor Gajah kepada Rosnah Mahadi di Kampung Kelemak, Alor Gajah, Melaka. – Foto oleh AMRAN MULUP / KOSMO!

“Kita sedang memantau dengan terperinci situasi yang berlaku di wilayah tersebut menerusi maklumat yang diperolehi daripada Batalion Malbatt dan PBB sendiri.

“Kalau wilayah itu menjadi kawasan pertempuran peperangan pastinya keutamaan kita adalah keselamatan anggota yang bertugas untuk segera dibawa keluar atas nama Malaysia,” katanya pada Majlis Serahan Kunci Rumah Kasih Ihsan Parlimen Alor Gajah Kepada Tiga Penerima di Kampung Kelemak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Adly berkata, jika keadaan menjadi lebih runcing, kementerian akan mempertimbangkan untuk membawa keluar segera pegawai dan anggota Batalion Malbatt atas kapasiti sendiri tanpa perlu menunggu keputusan daripada PBB.

“Perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari masa ke semasa berhubung perkembangan terkini di Lubnan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI