IPOH – Perak akan terus memantau perkembangan terkini pelajar dari negeri ini dengan Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London susulan protes di beberapa kawasan di United Kingdom (UK) berikutan insiden tikam di Southport pada 29 Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, pihaknya mengharapkan pelajar-pelajar dari Perak untuk terus mendapatkan info terkini daripada Pejabat Kedutaan Malaysia di London supaya sebarang tindakan dan pergerakan mereka dapat dipantau oleh pihak Wisma Putra.
“Pemantauan pergerakan mereka penting agar keselamatan pelajar dan masyarakat di sana dalam keadaan terkawal.
“Kita dapati keadaan masih dalam keadaan terkawal dan kita mengharapkan pihak Wisma Putra akan sentiasa memantau keselamatan pelajar khususnya daripada Perak supaya kita dapat pastikan mereka dalam keadaan selamat dan boleh meneruskan pengajian masing-masing,” katanya.
Menurutnya, situasi tersebut sama seperti situasi di Lubnan.
“Kita mengharapkan mereka yang berada di sana kena sentiasa peka dengan pengumuman atau info-info terkini daripada kedutaan kita di sana.
“Hal ini supaya sebarang permasalahan dan tindakan akan dapat apa dipantau oleh pihak kedutaan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini khususnya kepada rakyat Malaysia dan juga penuntut di sana,” katanya.
Terdahulu, rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke UK dinasihatkan untuk menjauhi kawasan protes, sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan. – KOSMO! ONLINE