TURIN – Juventus membuat keputusan untuk melepaskan khidmat lapan pemain utamanya termasuk penyerang, Federico Chiesa dan penjaga gol utama, Wojciech Szczesny sebelum jendela perpindahan kali ini ditutup.
Pengendali baharu pasukan itu, Thiago Motta dilihat cuba membuat pembersihan dan membina pasukan itu semula selepas mereka berdepan masalah prestasi sejak beberapa musim lalu dan gagal menguasai Serie A.
Juventus gagal untuk menguasai saingan Serie A sejak empat musim lalu selepas mereka menguasainya untuk tempoh sembilan musim sebelum ini menyebabkan Motta dipilih menggantikan Max Allegri.
Chiesa menjadi salah seorang pemain yang terdesak untuk dilepaskan oleh Juventus yang cuba untuk meningkatkan dana yang akan digunakan bagi mendapatkan khidmat pemain baharu.
Selain itu, Szczesny juga dianggap terlalu lama dan berusia untuk kekal mengawal gawang pasukan itu menyebabkan Motta mahu mendapatkan pemain lain yang lebih baik.
Selain dua pemain berkenaan, Weston McKennie dan Arthur Melo juga berada dalam senarai pemain yang akan dilepaskan selain Mattia De Sciglio, Daniele Rugani, Filip Kostic dan Hans Nicolussi-Caviglia juga tidak akan dikekalkan.
“Mereka tidak berada dalam perancangan kelab ini dan perlu mencari kelab baharu. Kami percaya ia akan menjadi keputusan terbaik yang mampu dilakukan untuk mengembalikan reputasi kelab ini,” kata Motta. – AGENSI