PETALING JAYA – “Kulitnya sangat licin dan bersih.”
Demikian perkongsian penyanyi Datuk Hattan berkongsi momen memandikan jenazah sahabat baiknya yang juga penyanyi, Jay Jay.
Hattan atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Shahabudin, 59, bersyukur proses pengebumian sahabat baiknya itu berjalan dengan lancar dan dipermudahkan Ilahi.
“Waktu saya mandikan jenazah Jay Jay, kulitnya sangat licin dan bersih.
“Macam kulit budak-budak saya tengok. Bersih betul keadaan arwah, alhamdulillah,” dedahnya kepada Kosmo! Online.
Hattan berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Sunway, pagi tadi.
Berkongsi lanjut, penyanyi lagu Rendang Tak Berbuah itu memberitahu, kali terakhir mereka bekerjasama ketika membuat persembahan di sebuah majlis perkahwinan di Kelantan pada Februari lalu.
Katanya, arwah ketika itu kelihatan tidak sihat selain perubahan pada tubuh badannya yang semakin susut.
“Kali terakhir kerjasama dengan dia sewaktu kami buat show di Kota Bharu, Kelantan sekitar enam bulan lalu. Persembahan untuk majlis perkahwinan anak rakan kami.
“Ketika itu nampak badannya memang sudah sedikit susut, macam tak sihat. Kalau tanya, beliau jawab okey sahaja. Kelihatan tenang dan santai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hattan mengakui terkejut mendengar berita pemergian Jay Jay yang disifatkan sebagai seorang sahabat baik yang banyak menabur jasa kepadanya.
“Masa dengar berita kematian dia memang terkejut gila. Setahu saya dia mengamalkan hidup sihat, selalu berjoging. Amat terasa kehilangan dia.
“Dia seorang kawan yang sangat baik, saya tak pernah jumpa orang yang sebaik dia dan boleh disebut ‘legend yang baik’.
“Banyak juga jasa dia kepada saya dalam kerjaya seni saya. Dia banyak main bass untuk lagu-lagu dan konsert saya. Terlalu banyak jasa arwah,” katanya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Darus, 67, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Sunway, pada jam 11.15 pagi.
Allayarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 9.27 malam tadi. – KOSMO! ONLINE