fbpx

Jay Jay insan baik, Nash gagal tahan sebak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NASH menyifatkan Allahyarham Jay Jay sebagai insan yang baik.

PETALING JAYA – Penyanyi, Datuk Nash yang juga vokalis kumpulan Lefthanded tidak dapat menahan sebak ketika mengimbau kenangan merakamkan lagu Pada Syurga Di Wajahmu yang juga dikatakan air tangan Allahyarham Jay Jay.

Nash atau nama sebenarnya, Nashrudin Elias berkata penyanyi l banyak memori yang masih terakam dalam fikirannya sepanjang proses pembikinan lagu tersebut.

“Dia adalah seorang insan yang sangat baik. Saya banyak sejarah dengannya, dia menjaga tiga album saya dan juga mengendalikan album itu. Dia hasilkan tiga buah album, lagu Pada Syurga Di Wajahmu adalah air tangan dia.

“Dia menggubahkan lagu dan memainkan muzik untuk lagu itu. Saya kena marah ketika menyanyikan lagu itu kerana tiada penghayatan pada awalnya tapi oleh kerana dia berikan sentuhan sebagai seorang komposer dan penerbit, saya terima hakikat itu.

“Boleh dikatakan saya ‘fed up’ ketika rakaman tapi dia bagi saya semangat sebab lagu itu tinggi yang bercerita mengenai kisah rumahtangga. Dia pula memberikan sepenuh jiwanya jadi Alhamdulillah lagu itu menjadi lagu yang sangat hebat. Saya tidak akan lupakan jasanya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mengulas lanjut, Nash yang ditemui di Masjid Al Husna, Bandar Sunway berkata, pemergian Jay Jay adalah satu kehilangan yang besar buatnya.

“Banyak yang kami kongsi dalam studio ketika rakaman. Saya belajar dengan dia ilmu nyanyian yang sangat mantap, dan dia juga seorang sahabat, komposer, penggubah lagu dan pemuzik terbaik.

“Kita rasa sangat kehilangan, kita hilang sebutir mutiara dalam negara kita. Gurau senda, ketawa, marah, semuanya ada.

“Alhamdulillah Allah beri keizinan pada saya untuk melawatnya di Institut Jantung Negara (IJN) ketika dia masih dalam rawatan. Harapan saya kita semua dapat mendoakan agar Allah angkat darjatnya dan masukkan arwah ke dalam syurga serta ampunkannya,” luahnya.

Terdahulu, jenazah Jay Jay selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Subang Jaya, di sini, pada pukul 11.15 pagi tadi.

Kira-kira 200 ahli keluarga, saudara mara serta kenalan Allahyarham Jay Jay hadir pada majlis pengebumian itu.

Antaranya adalah penyanyi, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Datuk DJ Dave, Ruhil Amani, Ramlah Ram dan ramai lagi.

Sebelum itu, jenazah allahyarham diurus dan disolatkan di Masjid Al Husna, di sini.

Allahyarham Jay Jay, 67 dilaporkan meninggal dunia di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada pukul 9.27 malam tadi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI