PENGURUSAN masa merupakan salah satu aspek terpenting bagi siapa sahaja termasuk mahasiswa universiti.
Kecekapan membahagikan masa antara akademik serta aktiviti luar kampus memberi kelebihan kepada Nur Izzah Inshirah Azmi Nassaruddin.
Gadis kelahiran Semenyih, Selangor itu berkata, dia mengakui bukan senang untuk membahagikan masa di kampus, namun kebolehan mengimbangi pelbagai peranan wajar diberi pujian.
Buktinya, pada tahun ketiga menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, dia berjaya menggalas pelbagai tanggungjawab kepimpinan dalam satu masa.
“Saya diberi tanggungjawab sebagai Bendahari Kehormat Jawatankuasa Perwakilan Kolej Rafflesia dan menjadi timbalan pengarah program untuk beberapa program di universiti.
“Selain itu, saya melibatkan diri secara aktif dalam kerja sukarelawan terutamanya bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Small Changes. MY,” katanya berbicara kepada iGen.
Jelas gadis berusia 23 tahun itu, meskipun menggalas pelbagai komitmen yang mencabar itu, namun dia tetap tidak melupakan pelajaran.
Dia yang mesra disapa Inshirah itu berjaya mengekalkan prestasi baik dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.85. Kebolehan Inshirah dalam memimpin, penglibatan aktif serta pencapaian akademik yang memuaskan melayakkannya merangkul Leadership Award ketika ‘Pre Graduation Dinner – Malam Sarong Klasik: Seribu Kenangan, Seluas Jumantara’ baru-baru ini.
Sebelum itu, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu pernah dinobatkan sebagai salah seorang penerima National Accounting Student Excellence Award (NASEA) 2023 anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Untuk rekod, MIA hanya memilih 17 orang daripada ratusan ribu pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di seluruh negara.
“Saya meletakkan kepercayaan bahawa ilmu yang dimiliki merupakan salah satu perkara yang dapat membezakan dirinya dengan orang lain.
“Justeru, saya sangat bersungguh-sungguh dalam mempelajari bidang yang diceburi ketika ini.
“Ibu bapa dan keluarga saya bukan daripada latar belakang perakaunan. Oleh itu, keputusan untuk menceburi bidang perakaunan adalah sesuatu yang baharu dan ia amat ‘menakutkan’,” ujarnya.
Terang anak kedua daripada lima beradik itu, dia sedar bahawa dengan menceburi bidang perakaunan, ia akan membuka jalan baharu buat dirinya, sekali gus mengubah nasib keluarga.
Dia juga berharap perjalanannya akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk keluar daripada zon selesa dan bangkit mengejar minat tanpa mengira latar belakang mereka.
Tidak begitu selesa digelar ulat buku di dalam kelas, Inshirah turut melebarluaskan komitmennya kepada kerja-kerja sukarelawan dan advokasinya untuk pendidikan berkualiti.
“Saya banyak terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti sukarelawan di dalam dan luar UiTM.
“Antaranya, program tanggungjawab sosial korporat dengan menjadi tutor secara sukarela bagi mengajar rakan-rakannya untuk subjek Financial Accounting & Reporting.
“Saya turut terlibat dengan program kolaborasi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam 3 dengan memberi tunjuk ajar kepada murid-murid yang mengambil subjek Prinsip Perakaunan,” katanya.
Dia yang kini sedang menjalani latihan industri berkata, minat terhadap aktiviti kesukarelawanan bermula sejak di bangku sekolah lagi kerana sering kali mengikuti lawatan ke pusat kebajikan anak yatim dan orang tua.
Minatnya itu diterjemahkan menerusi aktiviti kesukarelawan di peringkat universiti dalam Kelab Penyayang UiTM Shah Alam.