fbpx

Faisal Halim dapat semangat baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAISAL kembali memperkuatkan Selangor biarpun hanya diletakkan di bangku simpanan ketika menang 4-1 ke atas TFC kelmarin. - MUHAMAD IQBAL ROSL

TERSENARAI dalam 20 pemain dan berada di bangku simpanan mampu ‘menghidupkan’ cita-cita besar Faisal Halim untuk kembali tampil bersama Selangor FC selepas ini.

Kemenangan 4-1 ke atas Terengganu FC (TFC) untuk mengesahkan tempat ke final Piala FA musim ini juga memberi satu lagi gambaran positif dan Faisal kini nekad untuk menggandakan usahanya supaya dapat kembali beraksi seperti sedia kala.

“Alhamdulillah, tahniah kepada rakan sepasukan dan seluruh rakyat Selangor. Kemenangan ini untuk anda semua dan apa yang boleh saya katakan, saya bawa semangat walaupun tidak boleh bermain.

“Selepas hampir tiga bulan direhatkan, saya amat sedih dan kembalinya saya di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya beri semangat baharu. Latihan bersama pasukan pun agak baik dan saya harap ada kemajuan yang lebih cepat,” kata Faisal.

Walaupun sekadar berada di bangku simpanan, kelibat Faisal yang turut mengenakan topeng khas sudah menghadirkan kegembiraan buat seluruh peminat bola sepak negara.

13,370 penyokong dihidangkan dengan aksi penuh berkualiti sepanjang 90 minit permainan daripada kedua-dua pasukan, malah peminat TFC juga begitu teruja menyaksikan kehadiran Faisal selepas pulih daripada kecederaan lecur akibat simbahan asid awal Mei lalu.

Faisal turut menjelaskan dia masih lagi terkejut kerana pengendali pasukan, Nidzam Jamil menyenaraikan namanya dalam senarai 20 pemain untuk aksi ‘hidup mati’ menentang TFC.

“Saya pun terkejut, semalam (Jumaat) baharu saya tahu. Tetapi apa yang saya boleh buat adalah bantu pasukan dengan semangat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI