SEREMBAN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk keras pembunuhan kejam ke atas Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Allahyarham Ismail Abdel Salam Ahmad Haniyeh pada 31 Julai lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang bangkit membentangkan usul itu berkata, pembunuhan itu merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata, serangan secara terancang di luar kawasan pergolakan boleh mencetuskan peperangan wilayah lebih besar dengan melibatkan negara yang tidak terlibat dengan konflik tersebut.
“Seluruh rakyat di negara ini berpegang teguh kepada pendirian iaitu tiada alasan bagi membunuh mana-mana pemimpin Hamas yang dilihat sentiasa berusaha menuju proses pendamaian bagi memastikan rakyat Palestin mendapat kembali hak mereka di tanah air mereka.
“Rakyat negeri ini akan terus memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat serta bebas daripada kekejaman rejim Zionis Israel,” katanya.
Usul itu dikemukakan di bawah Peraturan 16, Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap DUN Negeri Sembilan 1960.
Aminuddin berkata, rakyat Malaysia sangat kecewa dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk membuat bantahan keras terhadap tindakan ganas rejim Zionis Israel itu.
Menurutnya, pembunuhan kejam Ismail Haniyeh yang sepatutnya mendapat kecaman daripada semua entiti antarabangsa dilihat sunyi tanpa sebarang usaha mengheret pihak yang terlibat dengan jenayah terancang tersebut. – KOSMO! ONLINE