PETALING JAYA- Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah memperuntukkan RM10 juta kepada Funding Societies untuk melancarkan Perkongsian Digital Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Perkongsian Digital tersebut merupakan kerjasama antara Funding Societies dengan Ecologitec Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kepada BPMB yang memanfaatkan skim Platform Pelaburan Dana Padanan BPMB untuk meningkatkan pilihan pembiayaan bagi PKS Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdul Wahab berkata, kerjasama dengan Funding Societies ini menandakan satu peristiwa penting dalam misi mereka untuk menyokong PKS.
“Kami komited untuk menyampaikan modal impak yang memacu pembangunan negara.
“Dengan merapatkan jurang pembiayaan dan menggalakkan rangkuman kewangan, kami memperkasakan PKS, mengiktiraf peranan penting mereka dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
“Kerjasama ini juga mencerminkan dedikasi kami terhadap agenda pembangunan Malaysia dan sokongan kami untuk kejayaan PKS,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Roni menerangkan, jumlah RM10 juta yang diberikan kepada Funding Societies, memberikan rangsangan yang ketara kepada perniagaan dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi, infrastruktur dan pembuatan, melengkapkan perkhidmatan sedia ada BPMB melalui Pembangunan Leasing Corporation.
Sementara itu, Ketua Pegawai operasi, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Kah Meng Wong berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan BPMB untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dan memberikan kredit kepada PKS yang kurang mendapat perkhidmatan.
“Kerjasama ini menyerlahkan peranan penting institusi kewangan pembangunan seperti BPMB dan pemain seperti Funding Societies dalam meluaskan landskap pembiayaan dan mengukuhkan pasaran modal,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE