PETALING JAYA – “Arwah insan yang pertahankan saya agar dikekalkan bersama Exists kerana pada ketika itu ada suara-suara berpendapat saya tidak sesuai menjadi penyanyi Exists.”
Demikian luahan penyanyi Ezad atau nama sebenarnya Mohd. Rohaizad Mohd Lazim, 44, mengenang kembali budi Allahyarham Jay Jay terhadap dirinya.
Menurutnya, penghibur berpengalaman yang juga pemuzik dan komposer disegani itu adalah individu yang bertegas meminta syarikat rakaman mengambilnya sebagai vokalis tetap band berkenaan.
Akui Ezad, andai bukan disebabkan Allahyarham bersungguh-sungguh mempertahankan dirinya, tidak mungkin hari ini dia mampu berada di tempat sekarang.
“Arwah Jay Jay adalah insan yang bertanggungjawab menjaga vokal saya ketika rakaman album pertama bersama Exists.
“Antara kenangan sampai bila-bila yang saya ingat adalah dia mempertahankan saya untuk kekal dalam Exists kerana pihak atasan mahu mencari penyanyi lain yang lebih sesuai.
“Padahal saya sudah merakamkan lebih separuh lagu dalam album itu tapi abang Jay Jay bertegas dalam telefon (cakap) kenapa perlu cari lain,” tulis Ezad dalam perkongsian Instagram.”
Mengenangkan momen penting sebegitu, pemergian Jay Jay yang dijemput Ilahi malam tadi meninggalkan kesan mendalam dirinya.
Menurut Ezad lagi, disebabkan sokongan penyanyi hebat itu juga dia mampu kekal bersama Exists hingga album terakhir kumpulan terbabit iaitu Paragon yang diterbitkan pada 2004.
Ezad dimasukkan dalam Exists pada 1995 adalah bagi menggantikkan vokalis asal, Mamat dan seterusnya mereka menghasilkan album ketiga berjudul Diammu Gunung Berapi.
Anggota lain ketika itu adalah Musa selaku pemain bass, Ajai (keyboard), Shah (gitar) dan Ujang (dram).
Allahyarham Jay Jay bertindak sebagai penerbit vokal bagi projek album Exist berjudul Diammu Gunung Berapi terbitan 1995.
Terdahulu, peminat dikejutkan dengan berita pemergian Jay Jay akibat komplikasi penyakit di sebuah hospital di Damansara malam tadi.
Urusan jenazah disempurnakan di Masjid Al- Husna Bandar Sunway pukul 10 pagi tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Subang Jaya sebelum solat zuhur. – KOSMO! ONLINE