LONDON – Arsenal sedang memantau perselisihan yang berlaku di antara Julian Alvarez dengan Pengurus Manchester City, Pep Guardiola yang dijangka akan membawa perubahan dalam perancangan kelab musim depan.
The Gunners bersedia untuk memulakan musim baru tanpa menandatangani penyerang baru, namun reaksi Guardiola terhadap pendedahan Alvarez mungkin akan mengubah rancangan di Emirates.
Pendirian Guardiola yang tidak akan menghalang pemain yang tidak gembira bermain bersamanya untuk meninggalkan kelab secara tidak langsung membuka peluang buat Mikel Arteta membawa pemain itu ke Arsenal dengan harga yang sesuai.
Sebelum ini, Arsenal telah ‘mencuri’ Gabriel Jesus dan Oleksandr Zinchenko dari City dan perpindahan kali ini akan menjadi perpindahan yang ketiga dari kelab yang sama sekiranya ia menjadi realiti.
Arsenal dilaporkan berminat, tetapi harga £80 juta (RM460.38 juta) yang ditetapkan oleh City untuk pemain itu dianggap terlalu tinggi dan The Gunners hanya mungkin mempunyai dana jika Eddie Nketiah dan Reiss Nelson meninggalkan kelab.
Pemain berusia 24 tahun itu menunjukkan prestasi cemerlang dalam dua musim di Manchester dengan memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris berturut-turut, Liga Juara-Juara dan Piala FA.
Alvarez turut menjaringkan 20 gol dalam 44 permulaan Liga Perdana Inggeris meskipun sering digunakan sebagai pemain tengah oleh Guardiola sekali gus menyuarakan ketidakpuasan hati dengan jurulatih itu. – AGENSI