PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M. Nasir menyifatkan Allahyarham Jay Jay sebagai idola dan heronya ketika mula menapak dalam dunia muzik.
Ujar M. Nasir, bakat yang dimiliki Allahyarham sangat luar biasa sekali gus pemergiannya merupakan kehilangan besar dalam industri seni.
“Dia insan yang mahir dalam kerjanya, rakaman saya semua menggunakan khidmat beliau selama 20 tahun. Saya hargai bakat seninya.
“Sebelum jadi penyanyi, beliau memang antara hero saya dalam bidang muzik, kemahirannya sungguh luar biasa. Banyak kali saya menonton persembahannya secara langsung di Singapura dulu.
“Saya antara peminat Jay Jay yang setia menanti seawal beliau masuk pintu sehingga menamatkan persembahan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Genius bermuzik dan penuh identiti, pelantun lagu Emas itu kagum dengan bakat dimiliki Allahyarham namun dirinya sentiasa membumi dan menghormati orang lain.
“Dia mempunyai penampilan tersendiri, tiada duanya. Pada saya, dia antara penyanyi lelaki yang paling menarik.
“Dia punyai pakej lengkap, kemahiran dalam nyanyian dan genius dalam muzik serta banyak menyumbangkan suara dalam bidang pengiklanan.
“Tahun 80-an dahulu pun kebanyakan iklan pakai suara dia. Pendek kata dia memang berbakat,” ujarnya.
Terdahulu, Allahyarham Jay Jay selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Subang Jaya, di sini, pada jam 11.15 pagi tadi.
Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara serta kenalan memberikan penghormatan terakhir.
Antaranya ialah penyanyi, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Datuk DJ Dave, Datuk Nash, Ruhil Amani, Ramlah Ram dan ramai lagi.
60-aSebelum itu, jenazah Allahyarham Jay Jay diurus dan disolatkan di Masjid Al Husna, di sini.
Allahyarham Jay Jay, 77, meninggal dunia di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 9.27 malam tadi. – KOSMO! ONLINE