MELAKA – Tiga beradik dari Masjid Tanah, Alor Gajah nekad untuk menumpang bermalam di sebuah surau di Semabok, di sini demi tuisyen percuma anjuran wakil rakyat di kawasan tersebut.
Nur Imlah Syafini Ahmad Fawzi, 27, yang mempunyai sembilan adik-beradik mengambil keputusan itu bagi mengurangkan beban kewangan keluarganya dengan penjimatan RM500 bagi lima subjek diikuti dua adiknya.
“Kami sekeluarga memang mencari kelas tuisyen SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) percuma untuk Nur Afifah (18) dan Nur Insyirah (21) yang tamat pengajian hafaz al-Quran di sebuah madrasah di Kelantan.
“Bagaimanapun mereka tidak mempunyai sijil SPM untuk menyambung pengajian di universiti, jadi kami rebut peluang ini walaupun terpaksa menumpang bermalam di Surau Ar Redhuan Taman Semabok Perdana,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut anak sulung itu, dia membawa seorang lagi kenalan adiknya untuk mengikuti program tersebut merangkumi subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Sains, Sejarah dan Matematik.
“Kami tahu keluarganya susah, jadi kami membawanya bersama. Ini juga berkat ayah dan ibu yang bersungguh-sungguh membawa kami ke sini pada minggu kedua kelas ini bermula 17 Julai lalu.
“Awalnya ayah berkenalan dengan pihak pengurusan surau dan diberitahu ada program ini, namun untuk berulang-alik pada hari minggu sejauh 80 kilometer dari Paya Rumput memang agar sukar,” kata lulusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak itu.
Ujarnya, pihak surau menyantuni keluarga itu dengan menawarkan mereka bermalam di bilik tetamu yang disediakan di surau berkenaan.
Nur Imlah mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abd. Halem kerana menganjurkan program tersebut terutama untuk keluarga yang kurang berkemampuan.
“Bagi saya, mereka yang berkelulusan maahad ini tidak semestinya menjadi ustaz, ustazah, imam atau pegawai agama tapi bebas memilih kerjaya diminati. Justeru, adalah penting untuk golongan ini mengambil SPM bagi membina karier mereka pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE