KLANG – Perselisihan faham antara Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berakhir apabila mereka berdamai dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja di sini, hari ini.
Kedua-dua pemimpin itu saling bersalaman dan berpelukan sambil disaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di atas pentas perasmian mesyuarat bahagian tersebut.
Ahmad Zahid ketika berucap berharap agar hubungan antara mereka dapat berjalan dengan baik dengan mengetepikan perkara yang lalu.
“Dalam berpolitik, berkecil hati itu (perkara) biasalah. Dengan ini saya mengarahkan Tengku Zafrul dan Megat Zulkarnain mari berdiri.
“Saya serahkan kepada mereka berdua buatlah apa yang patut,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja.
Sebelum ini, Tengku Zafrul yang merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dilapor tidak berpuas hati dengan kepemimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor yang dipimpin Megat Zulkarnain apabila mendakwa perancangan kebangkitan parti itu sebagai hambar dan tidak sehaluan dengan tema di UMNO Pusat.
Tengku Zafrul meletakkan jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor pada April lalu. – KOSMO! ONLINE