IPOH – Ganjaran RM5,000 menanti atlet Perak yang berjaya merangkul pingat emas pada pertandingan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
Atlet yang mendapat perak akan menerima RM3,000, gangsa RM1,000, manakala bagi kategori berpasukan, RM2,500 disediakan untuk pingat emas, RM1,500 perak, dan RM500 gangsa.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, para jurulatih dan pengurus juga akan menerima insentif berdasarkan pencapaian atlet di bawah didikan mereka.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak untuk memberikan insentif tambahan sekiranya ada wakil yang mencatatkan prestasi luar biasa.
“Jika ada pencapaian luar biasa, insentif juga luar biasa. Kita lihat kepada keadaan,” katanya kepada pemberita semasa majlis penyerahan bendera kontinjen Perak untuk Sukma Sarawak 2024,” katanya yang turut mengumumkan Setiausaha Kerajaan negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim sebagai Ketua Kontinjen.
Dalam masa sama, Saarani turut menjadikan raja pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi sebagai antara ikon contoh sewaktu memberikan semangat buat atlet Perak yang akan bertanding dalam Sukma 2024.
“Lihatlah Muhammad Azeem, anak jati Perak yang kini beraksi di pentas Olimpik. Dia juga bermula seperti anda, berlatih di padang yang sama, berlari di trek yang sama. Esok, mungkin nama anda,” katanya. – KOSMO! ONLINE