LAZIMNYA, lapangan terbang merupakan antara tempat tersibuk kerana menjadi pintu masuk dan keluar negara.
‘Jadi tidak hairanlah, jika pukul 12 tengah malam pun suasana di lapangan terbang masih hingar-bingar dengan ribuan manusia.
Berkongsi kisah mistik selaku petugas bahagian teknikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Amzar (bukan nama sebenar) berkata, dia memulakan kerjaya itu usai tamat pengajian.
Kata anak kelahiran Sibu, Sarawak itu, sebagai juruteknik pesawat, tugasnya menuntut dia bekerja syif pagi dan malam secara bergilir-gilir mengikut jadual.
“Saya masuk kerja pada pertengahan 2019. Tidak sampai setahun berkhidmat, tiba-tiba pandemik Covid-19 menyerang dunia dan banyak sektor terkesan.
“Industri penerbangan juga terkesan. Disebabkan keadaan semakin parah pada pertengahan 2020, majikan meminta kami bercuti tanpa gaji.
“Disebabkan saya antara pekerja baharu ketika itu, saya terpilih untuk dipanggil semula bekerja andai keadaan kembali pulih,” katanya.
Kata Amzar, disebabkan sekatan perjalanan laluan antarabangsa serta domestik, pesawat tidak boleh beroperasi.
Lebih kurang enam bulan dia ‘direhatkan’ daripada bekerja, Amzar dipanggil semula bertugas.
Ketika itu kerajaan baru sahaja melaksanakan ‘travel bubble’ atau gelembung perjalanan domestik.
Disebabkan itu, pesawat dibenarkan beroperasi, namun hanya untuk beberapa destinasi terpilih seperti Langkawi.
“Apabila pesawat sudah lama tidak terbang, maka macam-macamlah kerja yang perlu petugas bahagian teknikal buat dan periksa.
“Ada pesawat yang hampir enam bulan tidak digunakan dan memerlukan pemeriksaan lanjut sebelum boleh beroperasi,” katanya.
Ujar anak kedua daripada lima beradik itu, suasana di lapangan terbang ketika itu masih ‘suram’, walaupun beberapa insentif perjalanan dan sekatan mula dilonggarkan.
Katanya, kebanyakan premis perniagaan di KLIA masih ditutup dan ada yang sudah ‘bungkus’ sepenuhnya.
“Kehadiran pelancong tempatan juga memang agak kurang. Mungkin masing-masing masih takut dan trauma dengan pandemik maut tersebut.
“Ketika itu juga, pekerja-pekerja pembersihan sudah mula bertugas untuk memastikan kebersihan lapangan terbang termasuk pesawat dapat dilakukan.
“Hendak dijadikan cerita, semasa saya awal-awal bertugas, saya ada kenal seorang mak cik tukang cuci berbangsa India yang sudah lama bekerja di situ.
“Mak cik itu juga terpaksa diberhentikan kerana pandemik. Jadi bila sudah pulih, saya gembira dapat berjumpa semula dan sama-sama bekerja dengannya,” katanya.
Ujar Amzar, seperti kebiasaan, wanita dalam lingkungan usia hampir 60 tahun itu akan membersihkan tandas di sepanjang pintu ‘gate’ pesawat, selain menyapu ruang legar tempat penumpang menunggu.
“Jika saya masuk tandas, saya nampak mak cik India itu sedang leka menyapu dan fokus dengan kerjanya.
“Apabila saya tegur, dia menjawab tetapi raut wajahnya ketika itu nampak seperti tidak sihat dan penat.
“Saya ada tanyakan kesihatannya, dia jawab okey saja tanpa memandang ke arah saya. Saya juga memintanya ke klinik untuk berjumpa dengan doktor.
“Sebelum beredar meneruskan kerja, saya dapat dengar dengan jelas, dia seolah-olah meluahkan rasa penat bekerja dan sudah malas mahu hidup.
“Matanya ketika itu tepat melihat ke arah dinding tandas yang membelakangi saya,” cerita Amzar.
Terkesima dengan kata-kata wanita itu, Amzar bergegas keluar dan kembali meneruskan kerja menyelenggara pesawat bersama rakan sekerjanya.
Dia sempat berkongsi kisahnya di tandas kepada rakannya itu.
Namun, alangkah terkejutnya dia apabila dimaklumkan bahawa wanita cleaner itu sudah beberapa bulan meninggal dunia disebabkan jangkitan Covid-19.
Beritahu rakannya lagi, sebelum itu, wanita berkenaan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) disebabkan beberapa komplikasi lain termasuk jangkitan virus yang merosakkan 80 peratus paru-parunya.