KUALA LUMPUR – Rakyat Palestin yang terjejas serta mengalami masalah kesihatan akibat serangan reijim Zionis akan dibawa ke Malaysia untuk menjalani rawatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meneruskan segala usaha dan sokongan kepada rakyat Palestin tanpa tolak ansur.
“Insya-Allah kita akan lakukan sedaya upaya dan akan menyuarakan pandangan tidak kira depan siapa.
“Kita akan bantu yang sakit (atau cedera) sama ada dirawat di sana atau dibawa ke (Malaysia) untuk diberi rawatan,” katanya ketika menyampaikan pidato yang merupakan acara kemuncak pada Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah dana dan akan berbincang dengan pihak Bank Negara bagi tujuan tersebut.
Kata Anwar, beliau juga turut menghubungi beberapa pemimpin negara untuk terus memberikan kerjasama dan dukungan bantuan kemanusian supaya tidak melemahkan semangat rakyat Palestin.
“Saya harap saudara jangan henti bicara setiap hari demi Palestin. Jangan terus berhenti membantu dan bersedia untuk meringankan beban sahabat di Palestin.
“Saya mahu Malaysia terletak di dalam peta sejarah di antara negara yang konsisten dan bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib rakyat Palestin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE