DHAKA – Pertempuran antara penunjuk perasaan di Bangladesh yang menuntut Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan dan penyokong kerajaan, membunuh sekurang-kurangnya lapan orang hari ini.
Mereka terbunuh akibat ditikam dengan pisau dan ditembak, kata polis dan doktor.
Tiga daripadanya mati di daerah utara Pabna, dua di daerah utara Rangpur, dua di daerah Munshiganj di Dhaka dan satu di daerah barat Magura, kata pegawai polis dan doktor di hospital kepada AFP.
Beribu-ribu penunjuk perasaan dengan ramai yang memegang kayu, memenuhi dataran tengah Dhaka hari ini dalam protes besar-besaran bagi menuntut Hasina meletak jawatan berikutan tindakan keras polis yang membawa maut.
Asif Mahmud yang merupakan salah seorang pemimpin protes utama dalam kempen di seluruh negara, meminta penyokong bersedia untuk melawan.
“Sediakan batang buluh dan bebaskan Bangladesh,” tulisnya di Facebook hari ini.
Perhimpunan menentang kuota pekerjaan perkhidmatan awam mencetuskan kekacauan pada Julai lalu yang mengorbankan lebih 200 orang dalam siri pergolakan terburuk bagi tempoh 15 tahun Hasina memerintah.
Tentera berjaya memulihkan keadaan seketika, namun orang ramai kembali turun ke jalanan dalam jumlah besar minggu ini, dalam gerakan habis-habisan yang bertujuan untuk melumpuhkan kerajaan.
Ratusan ribu penunjuk perasaan dijangka berhimpun di Dhaka dan seluruh negara, manakala protes dijangka semakin buruk.
Protes balas daripada kumpulan penyokong kerajaan juga diramal berlaku.
“Ia bukan lagi mengenai kuota pekerjaan. Apa yang kami mahukan adalah generasi akan datang dapat hidup bebas di negara ini,” kata seorang penunjuk perasaan, Sakhawat. – AFP