PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke United Kingdom (UK) dinasihatkan untuk menjauhi kawasan terlibat susulan siri protes yang sedang berlaku di beberapa kawasan di negara itu ekoran kejadian tikaman di Southport pada 29 Julai lalu.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, rakyat Malaysia di sana dinasihatkan unthk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London amat digalakkan untuk melakukannya segera bagi memastikan mereka menerima maklumat dan bantuan yang tepat pada masanya.
“Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi melalui alamat di 45 – 46 Belgrave Square, London, United Kingdom atau talian +44 20 3931 6196 +44 20 7235 8033,” katanya hari ini.
Jelasnya, Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London juga sedang memantau dengan rapat siri protes yang sedang berlaku itu.
“Sebarang perkembangan terkini mengenai kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, Polis Britain akan mendakwa seorang remaja lelaki berusia 17 tahun atas pembunuhan tiga gadis muda serta 10 tuduhan cubaan membunuh dalam serangan pisau di kelas tarian sehingga mengejutkan negara dan mencetuskan protes ganas selama dua malam.
Remaja itu, yang tidak boleh dinamakan atas faktor usianya akan hadir ke Mahkamah Majistret Liverpool susulan insiden yang berlaku pada Isnin di bandar tepi pantai Southport.
Spekulasi tercetus di bandar barat laut Inggeris itu selepas maklumat palsu mula tersebar di media sosial mendakwa suspek adalah seorang migran yang radikal dengan penunjuk perasaan antipendatang mula turun ke bandar itu dari tempat lain.
Di London pula, ribuan berkumpul berhampiran kediaman Perdana Menteri di Downing Street sambil mereka melaungkan ‘Selamatkan anak-anak kami’ dan ‘Kami mahu negara kami kembali’.
Lebih 100 orang ditangkap dalam himpunan itu. – KOSMO! ONLINE