LONDON – Manchester United dilapor semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan pemain baharu ketika mereka dengan membawa masuk pemain pertahanan Bayern Munich, Noussair Mazraoui.
Setakat ini, United sudah mengeluarkan perbelanjaan lebih £80 juta (RM460.41 juta) untuk mendapatkan khidmat penyerang Bologna, Joshua Zirkzee dan pemain pertahanan Lille, Leny Yoro.
Pengendali pasukan, Erik Ten Hag dilapor mahu mendapatkan seorang pemain pertahanan kanan yang lebih baik dalam aspek penguasaan bola berbanding Aaron Wan-Bissaka menyebabkan Mazraoui dianggap calon terbaik.
Dalam pada itu, minat beberapa pasukan termasuk West Ham United dan Inter Milan terhadap khidmat Wan-Bissaka menyebabkan United perlu membuat persiapan awal untuk kehilangan pemain di posisi berkenaan.
Laporan terbaharu menyebut, Mazraoui yang pernah bekerjasama dengan Ten Hag di Ajax Amsterdam sebelum ini akan terbang ke Manchester untuk menjalani ujian perubatan esok untuk melengkapkan perpindahan ke Old Trafford.
Perkembangan itu menyaksikan pemain berusia 26 tahun berkenaan mampu diturunkan pada aksi Piala Perisai Komuniti menentang Manchester City di Wembley pada Sabtu ini.
Dalam pada itu, United masih lagi meneruskan rundingan untuk mendapatkan seorang lagi pemain Bayern, Matthijs De Ligt selepas tawaran sebelum ini ditolak, namun United juga memiliki alternatif lain iaitu pemain muda Real Madrid, Joan Martinez sekiranya rundingan mendapatkan pemain Belanda itu gagal. – AGENSI