fbpx

Olimpik Paris: Duplantis boikot perkampungan Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUPLANTIS enggan fokusnya memburu emas dan rekod dunia terganggu ekoran masalah Perkampungan Olimpik yang tidak memberi keselesaan buat atlet. - AFP

PARIS – Pemegang rekod dunia lompat galah Sweden, Armand Duplantis telah menimbulkan kontroversi selepas keputusannya untuk meninggalkan perkampungan Olimpik semasa sukan berprestij dunia itu sedang berlangsung.

Bagaimanapun, kapten pasukan kebangsaan Sweden, Kajsa Bergqvist mempertahankan pilihan yang telah dibuat oleh rakan sepasukannya dan menganggap Duplantis merupakan seorang yang profesional serta mempunyai keperluannya yang perlu dihormati.

Juara dunia itu sedang berjuang untuk merealisasikan impian meraih pingat emas Olimpik kedua berturut-turut serta memecahkan rekod dunia kesembilan apabila bakal memulakan acaranya di Stade de France hari ini.

Sebelum ini, atlet berusia 24 tahun itu telah mencipta rekod dunia baharu dengan lompatan setinggi 6.24 meter (m) pada Kejohanan Liga Berlian Xiamen tahun lepas dan dijangka mencipta rekod dunia baharu sekali lagi di Perancis kali ini.

“Orang tahu apa yang saya boleh lakukan dan setinggi mana saya boleh melompat berbanding dengan orang lain. Jadi saya akan lakukan apa yang saya biasa lakukan, fokus pada diri sendiri dan melompat setinggi mungkin,” katanya.

Terdahulu, kontroversi mengenai fasiliti di perkampungan Olimpik Paris 2024 telah berlarutan apabila kesemua 26,000 katil diperbuat daripada bahan kertas dan plastik sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai ketahanannya serta tidak selesa dalam kalangan atlet.

Lebih mengecewakan para atlet, Perkampungan Olimpik pada edisi kali ini tidak dilengkapi dengan televisyen serta penghawa dingin dan ia juga dikatakan menjadi punca Duplantis memilih untuk berpindah ke hotel yang lebih selesa. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI