BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bertekad untuk melupakan kekecewaan selepas impian mereka untuk melangkah ke pentas final musnah apabila tumpas kepada gandingan No. 1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang kelmarin.
Bekas juara dunia 2022 itu kini memberi tumpuan sepenuhnya menjelang perlawanan terakhir mereka di Paris dengan harapan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa sekali lagi ke tanah air.
Namun, Aaron-Wooi Yik dijangka menghadapi tugas sedikit mencabar apabila mereka akan menentang gandingan ranking No. 2 dunia Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen malam ini.
“Saya rasa fikir kami telah melakukan yang terbaik, tetapi tidak mendapat hasil yang kami inginkan. Kita bermain dengan cara yang betul, tetapi juga melakukan banyak kesilapan dan juga tergesa-gesa.
“Kita masih ada satu lagi perlawanan, jadi kita perlu tampil dengan permainan yang betul kerana mahu membawa pulang pingat,” kata Aaron yang meraih gangsa di Olimpik Tokyo bersama Wooi Yik.
Berdasarkan rekod pertemuan semasa menunjukkan kelebihan memihak kepada Aaron-Wooi Yik yang mempunyai tujuh kemenangan daripada 11 pertemuan sebelum ini.
Bagaimanapun, Astrup-Rasmussen pernah menewaskan juara dunia 2022 itu dalam aksi suku akhir Terbuka Singapura pada bulan Mei lalu.
Dalam pada itu, Wooi Yik berkata mereka tidak mahu memberikan tekanan tinggi kepada diri sendiri kerana mempunyai pengalaman beraksi dalam penentuan pingat gangsa pada edisi lepas.
Sebagai rekod, sewaktu di Olimpik Tokyo, Aaron-Wooi Yik mengejutkan bekas juara dunia, Mohammad Ahsan- Hendra Setiawan dari Indonesia 17-21, 21-17, 21-14 untuk membawa pulang pingat gangsa.