PETALING JAYA – Kenderaan asing di Sabah dan Sarawak hanya dibenarkan mengisi minyak diesel tidak melebihi 20 liter di stesen minyak yang beroperasi dalam radius 30 kilometer (km) dari sempadan Brunei atau Indonesia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd. Ali, bagaimanapun berkata, warganegara asing hanya boleh membeli diesel pada kuantiti diperlukan selepas radius 30 km.
Menurut Armizan, ia berdasarkan Arahan Pengawal Bekalan Di bawah Peraturan 12A, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 berhubung Larangan Penjualan Diesel dan Petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.
“Terdapat kekeliruan di stesen minyak tertentu apabila tular larangan jualan minyak diesel kepada kenderaan asing, mereka khuatir dan keliru dengan peraturan yang sedia ada yang sebenarnya telah dikeluarkan sejak Jun 2022.
“Kita mahu lindungi hak rakyat kita untuk subsidi terbabit, tetapi pada masa sama kita prihatin kerana bagi kita kedatangan pelancong ke Sabah dan Sarawak ini penting untuk ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas hantaran tular berkaitan konvoi kenderaan pelancong dari Brunei yang menyertai acara ‘off-road’ di Sarawak, berdepan kesukaran apabila stesen minyak di laluan tersebut enggan menjual diesel kepada kenderaan asing.
Armizan berkata, peraturan itu juga terpakai kepada stesen minyak di Semenanjung yang terletak dalam radius 50 kilometer dari sempadan Thailand dan Singapura.
“Berkemungkinan isu ini berbangkit kerana pengusaha-pengusaha stesen bimbang stesen minyak ditularkan jika menjual kepada kenderaan-kenderaan asing sebagaimana yang banyak berlaku sekarang.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan meneruskan advokasi arahan ini kepada pengusaha stesen minyak bagi mengelak sebarang kekeliruan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan warganegara asing tidak boleh mengisi minyak petrol RON95 bersubsidi untuk kenderaan mereka dan hanya dibenarkan membeli petrol RON97.
“KPDN ambil perhatian tentang rungutan daripada pelancong asing di Sabah dan Sarawak yang sukar mendapatkan bekalan petrol RON97 kerana tidak banyak stesen minyak yang membekalkan petrol terbabit.
“Saya akan mendapatkan laporan segera daripada KPDN Sabah dan Sarawak, dan mencari kaedah penyelesaian terbaik termasuk berbincang dengan Kementerian Kewangan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE