IPOH – Cubaan 43 gadis pelayan pelanggan (GRO) menyorok dalam lapan bilik rahsia termasuk di sebalik dinding tandas yang telah diubah suai gagal selepas ditangkap dalam dua serbuan di premis hiburan di Greentown dan Taman Canning di sini hari ini.
Serbuan menerusi Op Gegar pada pukul 1.30 hingga 6 pagi itu dijalankan oleh 26 pegawai Jabatan Imigresen (JIM) Perak, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, dalam serbuan di Greentown, anggota penguatkuasa terpaksa memotong jubin dinding tandas di mana terdapat pintu konkrit di sebaliknya.
Katanya, operasi memotong jubin yang memakan masa hampir sejam itu telah menjumpai wanita warga asing duduk berhimpit bersama dua lelaki warga Bangladesh.
Menurut beliau, serbuan sama turut dilakukan serentak di sebuah premis hiburan di Taman Canning dan menahan seramai 34 wanita warga asing disyaki GRO.
Katanya, dalam serbuan itu, lapan lelaki Bangladesh yang berkerja sebagai tukang cuci dan pelayan turut ditangkap.
Tambah beliau, kesemua warga asing itu kini ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE