KUALA LUMPUR – Gelandangan lelaki direman selama tiga hari ekoran tindakannya melempar batu di Stesen Monorel Imbi, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nuzulan Mohd Din berkata, suspek berusia 55 tahun itu direman bermula hari ini hingga Selasa.
Katanya, siasatan lanjut berkait kes tersebut masih dijalankan.
“Suspek didapati normal, namun suspek akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut,” ujarnya ringkas kepada pemberita.
Semalam, media melaporkan suspek ditahan gara-gara perbuatannya melempar batu di stesen terbabit selepas polis menerima laporan kejadian pukul 5 petang pada Jumaat.
Suspek lelaki tempatan itu diberkas sekitar stesen berkenaan kira-kira pukul 5.30 petang semalam.
Beliau berkata, siasatan berkaitan kes terbabit dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.