fbpx

CGM penyebab radang pada payudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Nani Harlina menunjukkan kesan radang yang berlaku akibat Mastitis Granulomatosa Kronik.

RAMAI di antara kita yang tidak pernah mendengar perihal masalah Mastitis Granulomatosa Kronik atau Chronic granulomatous mastitis (CGM).

Sebenarnya CGM ini merupakan satu masalah yang jarang berlaku dan di Malaysia, tidak ramai yang berhadapan dengan penyakit tersebut.

Meskipun jarang terjadi, kesedaran mengenainya tetap pen­ting memandangkan CGM yang tidak dirawat secepat mungkin akan memberi kesan kepada ke­sihatan pesakit.

Pakar Perunding Bedah Pa­yudara dan Endokrin dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Nani Harlina Md Latar berkata, CGM adalah satu masalah yang disebabkan oleh radang pada bahagian payudara.

Menurutnya, radang ini boleh berlaku disebabkan beberapa faktor dan gejala kepada masalah CGM yang melibatkan ketulan di payudara yang membesar dengan cepat ini seakan sama seperti simptom kanser pa­yudara.

“Bagi masalah ini, banyak pesakit yang kita diagnos menunjukkan gejala yang lebih kurang sama dengan salah satu jenis kanser payudara yang agresif di mana ada ketulan merah pada bahagian payudara yang membesar dengan cepat.

“Meskipun ciri-ciri kepada masalah CGM ini sama seperti gejala kanser payudara, namun kedua-duanya adalah berbeza antara satu sama lain,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dr. Nani Harlina Md Latar

Tambah beliau, CGM biasa berlaku kepada wanita yang me­lahirkan anak, meskipun terdapat segelintir kes di mana wanita muda yang belum melahirkan anak ataupun belum berkahwin turut berhadapan dengan masalah tersebut.

Selain itu, wanita yang merokok atau terdedah kepada hormon-hormon yang berkaitan dengan payudara seperti hormon prolaktin juga lebih be­risiko untuk berhadapan dengan masalah CGM.

Mengulas lanjut, Dr. Nani Harlina berkata, ada beberapa faktor yang menyebabkan CGM ini berlaku dan salah satunya adalah disebabkan jangkitan kuman seperti bakteria.

Namun untuk memastikannya, proses biopsi (pengasingan sel, tisu atau cecair tubuh daripada pesakit untuk mengkaji ciri-ciri sesuatu penyakit) perlu dilakukan terlebih dahulu.
Bakteria yang mempunyai kaitan sebagai penyebab klasik CGM ini adalah Mycobacterium tuberculosis, iaitu bakteria ­penyebab penyakit tuberculosis (TB).

“Sekarang ini TB semakin meningkat di Malaysia dan kita jumpa lebih banyak kes-kes CGM.

“Selain itu, CGM juga boleh berlaku disebabkan jangkitan bakteria Corynebacterium.

“Tetapi ada juga kes-kes CGM yang berkaitan dengan penyakit autoimun, iaitu satu si­tuasi di mana badan kita sendiri yang men­yerang sel tisu dalam badan,” jelasnya.

Sementara itu, bagi faktor hormon, ada teori yang mengatakan bahawa CGM juga boleh berlaku apabila susu di payudara bertindak balas dengan sel di salur susu dan menyebabkan radang.

Ia terjadi apabila tisu dalam payudara bertindak balas terhadap susu yang keluar, menyebabkan berlakunya masalah tersebut.

Apabila pesakit berhadapan dengan CGM, radang pada bahagian payudara boleh membesar dan jika ia tidak dirawat, akan berlaku nanah pada bahagian ketulan sehingga menyebabkan kulit payudara terkesan.

Pusat penjagaan payudara di Pusat Perubatan Sunway antara lokasi rujukan bagi permasalahan melibatkan payudara.

Ia juga akan menyebabkan kulit pada bahagian itu menjadi abnormal dan boleh merebak dari satu kawasan yang kecil menjadi besar.

Dr. Nani Harlina menjelaskan, gejala yang paling biasa untuk masalah ini adalah pesakit dapat merasakan ada ketulan yang menyakitkan pada bahagian payudara mereka.

Kesakitan itu kadang-kala akan membuat pesakit demam.

“Bila pesakit deman kita akan suspek CGM. Selain ketulan, ada juga pesakit yang datang dengan kesakitan pada bahagian payudara sahaja.

“Bagi pesakit yang ada ketulan di payudara, apa yang kita perlu lakukan untuk mendiagnos adalah dengan melakukan mammogram dan ultrasound.

“Tetapi untuk CGM ini, kaedah utama yang digunakan adalah­ujian ultrasound bagi melihat ciri-ciri jangkitan atau radang,” jelas Dr. Nani Harlina.

Tambahnya, mamogram turut dilakukan bagi memastikan pesakit tidak mempunyai tanda-tanda kanser payudara.

Selepas selesai prosedur ultrasound dan mamogram, biopsi akan dilakukan bagi menentukan punca kepada masalah tersebut.

Dr. Nani Harlina berkata, CGM boleh dirawat dengan mudah setelah keputusan biopsi dipe­rolehi.

Terangnya, jika keputusan biopsi menunjukkan CGM berpunca daripada TB, ubat anti TB akan diberikan kepada pesakit selama enam bulan.

“Manakala jika punca CGM selain daripada TB, kita akan memberi antibiotik selama seminggu kepada pesakit untuk pastikan tidak ada jangkitan.

“Selepas itu baru kita akan melakukan rawatan spesifik untuk CGM dan kita akan bagi ste­roid supaya sistem imun pesakit dapat dikurangkan sedikit.
“Ini kerana masalah CGM adalah berkaitan dengan penyakit autoimun, yang mana badan kita terlampau aktif melawan benda asing,” katanya.

Tambahnya, steroid berfungsi untuk menurunkan sedikit reaksi badan terhadap benda asing.

Steroid akan diberi pada dos yang tinggi pada permulaan, sebelum dikurangkan sedikit demi sedikit.

Jelasnya, tempoh masa untuk pesakit pulih kebiasaannya adalah antara enam hingga lapan minggu.

Sebagai sebuah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, SMC yang dilengkapi dengan 28 Pusat Kecemerlangan turut disenaraikan dalam 250 hospital teratas dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024 yang diumumkan baru-baru ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI