KLUANG – Sepasang suami isteri di Kampung Parit Salman di Jalan Benut-Simpang Renggam merayu orang ramai membantu mencari seorang wanita yang menyerahkan anak kandungannya kira-kira enam tahun lalu.
Nurfarahin Mohd Azman, 31, berkata, bayi yang dilahirkan pada 11 Mac 2018 di Hospital Pontian bernama Siti Nur Madinah Abdullah, 6, diserahkan oleh Siti Zubaidah Abu Samah dan kini berusia kira-kira 32 tahun di sebuah rumah di Kampung Paya, Jalan Benut.
Katanya, ketika penyerahan dilakukan mereka memberikan wang tunai sebanyak RM2,000 sebagai tanda terima kasih manakala wanita berkenaan hanya menyertakan surat daftar kelahiran namun tiada surat pengangkatan yang sah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Usaha mengesan wanita berkenaan di alamat terakhirnya di Taman Megah, Pontian gagal kerana dikatakan sudah berpindah ke Kuala Lumpur bersama keluarganya.
“Kali terakhir kami berhubung adalah pada bulan Januari 2019 sebelum terputus hubungan hingga kini manakala usaha mencari keluarganya di Pontian berhadapan kesukaran kerana tidak mengenali mereka,” katanya.
Menurut Nurfarahin lagi, kanak-kanak itu kini dalam jagaan bersama suaminya, Mohamad Faiz Misman, 34, dan akan disekolahkan di Sekolah Kebangsaan Kampung Datuk Ibrahim Majid pada tahun hadapan.
Bagaimanapun ujarnya, usaha itu berhadapan kesukaran berikutan ketiadaan dokumen diri pada kanak-kanak berkenaan selain surat daftar kelahiran.
“Oleh yang demikian, jika orang ramai mengenali wanita berkenaan atau dirinya sendiri dapat menghubungi saya di talian 013 – 7424088 bagi mengatur pertemuan bagi membolehkan dokumen dirinya dapat disediakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE